AM

THAILAND AKAN BEBASKAN 18 TENTERA KEMBOJA SUSULAN PERJANJIAN DAMAI KL

26/10/2025 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Thailand akan membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang dimeterai antara kedua-dua negara jiran itu, menandakan satu pencapaian baharu dalam usaha memulihkan kestabilan dan kepercayaan di sepanjang sempadan bersama mereka.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata keputusan itu dibuat susulan pemeteraian Perjanjian Damai KL hari ini, yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap keamanan, kedaulatan dan saling menghormati.

Di bawah Perjanjian Damai KL itu, Anutin berkata kedua-dua pihak akan mula melaksanakan semua perkara yang telah dipersetujui, termasuk penarikan segera senjata berat dari kawasan sempadan bagi memastikan keselamatan dan membina semula keyakinan dalam kalangan komuniti setempat.

“Hari ini menandakan lembaran baharu bagi Thailand dan Kemboja. Kita melangkah dengan nyata ke arah keamanan,” katanya semasa majlis menandatangani perjanjian itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Majlis menandatangani perjanjian antara Anutin dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet itu disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, serta Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Anutin turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepimpinan beliau dalam menegakkan perpaduan ASEAN, dan kepada Trump atas “komitmen peribadi beliau terhadap keamanan” antara Thailand dan Kemboja.

“Kami telah melalui perjalanan panjang sejak mencapai persetujuan gencatan senjata di Malaysia pada 28 Julai lalu. Perbincangan yang berlangsung selepas itu telah membawa kepada hasil penting hari ini, iaitu pemeteraian Perjanjian Damai KL.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Hun Manet atas kerjasama dan sokongan beliau yang membawa kami ke detik bersejarah ini,” katanya.

Pemimpin Thailand itu menegaskan bahawa pelaksanaan penuh perjanjian tersebut akan menjadi asas kepada keamanan yang berkekalan.

“Namun yang lebih penting, ia memulakan proses untuk memulihkan hubungan kita. Komuniti di sempadan telah terpisah akibat konflik, dan orang awam tidak berdosa menanggung penderitaan yang besar. Perjanjian ini meletakkan tanggungjawab besar kepada kedua-dua pihak untuk bertindak,” katanya lagi.

Anutin turut mengumumkan pemeteraian dua dokumen ekonomi utama, iaitu kenyataan bersama yang menggariskan rangka kerja bagi perjanjian perdagangan timbal balas antara AS dan Thailand, serta memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam mineral kritikal yang bertujuan memperkukuh rantaian bekalan yang berdaya tahan dan mampan untuk tahun-tahun mendatang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan