AM

TRUMP UCAP TERIMA KASIH KEPADA ANWAR KERANA KEJAYAAN MENGANTARA PERJANJIAN DAMAI THAILAND-KEMBOJA

26/10/2025 04:18 PM

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau menjadi perantara kepada pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand hari ini.

Trump menyifatkan Anwar sebagai tokoh hebat dan bersejarah atas peranannya dalam perjanjian damai itu, sambil menegaskan bahawa beliau berasa terpanggil untuk melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selepas Anwar berjaya menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara berkenaan.

“Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Kemboja) amat menghormati antara satu sama lain, namun Perdana Menteri (Anwar) memainkan peranan penting dalam membantu mempertemukan kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur,” katanya.

Trump berkata demikian sebelum menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai “Delivering Peace – Cambodia-Thailand Peace Deal” di sini hari ini.

Turut hadir ialah Anwar, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan