KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pemerhati daripada negara ASEAN termasuk Malaysia akan dihantar di bawah perjanjian damai yang ditandatangani Kemboja dan Thailand hari ini, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
“(Iaitu) untuk memastikan keamanan itu berterusan dan berkekalan dan saya tidak ragu-ragu bahawa ia akan berlaku,” katanya sebelum menyaksikan pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand di sini hari ini.
Turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu bersama-sama Trump, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perjanjian itu, yang digelar sebagai "Perjanjian Damai Kuala Lumpur", ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur, yang bermula hari ini.
Selain itu, Trump berkata di bawah perjanjian damai itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghentikan semua pertelingkahan dan berusaha untuk membina hubungan kejiranan yang baik antara satu sama lain.
-- LAGI
ASEAN-TRUMP (PERJANJIAN DAMAI) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
“18 tawanan perang Kemboja (juga) akan dibebaskan," katanya.
Perjanjian damai itu menandakan satu kejayaan dalam diplomasi serantau ASEAN, mencerminkan komitmen blok itu terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemamampanan".
Thailand dan Kemboja telah lama bertelagah mengenai sempadan 817 kilometer mereka, dengan ketegangan baru-baru ini memuncak menjadi konfrontasi tentera pada 24 Julai lepas.
Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sepanjang sempadan bersama kedua-dua negara.
Gencatan senjata itu dilihat sebagai pencapaian utama ASEAN yang mencegah peningkatan ketenteraan dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.
-- BERNAMA
