AM

TRUMP PUJI ANWAR KERANA BERJAYA JADI PENGANTARA PERJANJIAN DAMAI THAILAND-KEMBOJA

26/10/2025 06:24 PM

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau sebagai pengantara dalam proses damai sehingga membawa kepada pemeteraian perjanjian bersejarah antara Kemboja dan Thailand di sini hari ini.

Beliau berkata usaha Anwar telah membawa kepada pelaksanaan gencatan senjata yang berjaya menghalang peningkatan konflik di sempadan kedua-dua negara berjiran itu sekali gus menjamin keselamatan ribuan orang awam yang tinggal di kawasan berkenaan.

Ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian damai itu, Trump yang tiba di Malaysia pagi tadi, menyifatkan Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN 2025, sebagai tokoh hebat dan bersejarah.

Presiden AS itu berkata susulan usaha Anwar yang membawa kepada perjanjian damai, beliau berasa terpanggil untuk mengunjungi Malaysia bagi menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri berkenaan dan pada masa sama, menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Beliau berkata Anwar berjaya membawa kedua-dua pihak yang bertelingkah dan terlibat dalam konflik bersenjata ke meja rundingan pada Julai lepas, serta menyelesaikan pertikaian itu sekali gus menghalang keganasan daripada merebak selain meredakan kebimbangan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Terdahulu, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menandatangani Perjanjian Damai KL, dengan disaksikan oleh Trump serta Anwar.

“Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Kemboja) saling menghormati antara satu sama lain namun Perdana Menteri Anwar memainkan peranan yang amat penting dalam mempertemukan kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur,“ kata Trump.

Kedua-dua pemimpin Thailand dan Kemboja juga telah menunjukkan keberanian luar biasa apabila bersetuju untuk duduk semeja, kata Trump sebelum menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai KL yang turut didokumentasikan sebagai  “Delivering Peace - Cambodia-Thailand Peace Deal.”

Perjanjian damai itu dimeterai di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dianjurkan oleh Malaysia.

Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang bermula hari ini dan berakhir pada 28 Okt, berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Menjelaskan dengan lebih terperinci tentang peristiwa yang membawa kepada perjanjian damai itu, Trump berkata beliau telah menghubungi Anwar pada peringkat awal pertelingkahan kedua-dua negara berkenaan.

“Saya telah menghubungi beliau dan memaklumkan bahawa dua negara jiran anda sedang berkonflik.”

“Kita perlukan tempat ketiga yang bersifat neutral, dan beliau ada di situ,” katanya.

Trump juga berkata beliau telah berjanji kepada Anwar untuk berkunjung ke Malaysia jika Perdana Menteri berkenaan berjaya menyelesaikan konflik antara Kemboja dan Thailand.

“Saya katakan kepada beliau, jika kita berjaya menyelesaikan konflik ini, saya akan berkunjung ke negara anda.”

Thailand dan Kemboja sudah lama berhadapan pertikaian membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terkini mencetuskan konfrontasi ketenteraan pada 24 Julai lepas.

Pada 28 Julai lepas, Anwar menganjurkan mesyuarat berprofil tinggi di Putrajaya, pusat pentadbiran persekutuan Malaysia, antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai yang membawa kepada pelaksanaan gencatan senjata serta berjaya meredakan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Gencatan senjata itu, yang disifatkan sebagai pencapaian besar bagi ASEAN, berjaya mencegah peningkatan tindakan ketenteraan sekali gus menjamin keselamatan ribuan penduduk di kawasan berkenaan.

Kehadiran Trump di Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menandakan lawatan pertama seorang Presiden AS ke negara ini dalam tempoh sedekad selain merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Duta AS ke Malaysia Edgard D Kagan selain para pegawai Thailand serta Kemboja.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan