AM

INOVASI WARNA LONJAK POPULARITI PRODUK KRAF ORANG ASLI

26/10/2025 07:30 PM

BANTING, 26 Okt (Bernama) -- Sentuhan inovasi pada warna dan corak anyaman tradisional berjaya membantu meningkatkan permintaan dan populariti produk kraf Orang Asli, sekali gus menyumbang kepada ekonomi komuniti luar bandar itu.

Tinjauan Bernama di Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, di sini mendapati rata-rata reruai Orang Asli yang menjual hasil kraf menawarkan pelbagai jenis produk anyaman berwarna seperti tikar, bakul, beg, penanda buku serta barang perhiasan antaranya anting-anting serta cincin.

Bagi anak muda Orang Asli, Mahasinin Mahamad, 18, usaha memperkenalkan variasi warna termasuk rekaan moden ibarat memberi nafas baharu kepada hasil anyaman tradisi sedia ada yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

"Produk yang dihasilkan tampak lebih eksklusif dengan warna yang terang. Ia lebih menonjol sekiranya beberapa warna digabungkan berbanding produk terdahulu yang kelihatan lebih pucat.

"Kalau dulu anyaman banyak guna warna semula jadi, sekarang kami campur warna-warna lembut dan cerah supaya nampak moden," katanya kepada Bernama di Pasar Mui Mah Meri yang berlangsung di Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun hari ini.

Mahasinin yang juga dari etnik Mah Meri berkata penggunaan warna moden bukan sekadar elemen hiasan, malah dijadikan strategi untuk menarik minat pelanggan dan pelancong luar negara yang cenderung menggemari produk etnik dengan gaya kontemporari.

Sementara itu, seorang pengusaha produk kraf Orang Asli Zubaidah Karim, 47,berkata komuniti di tempat tinggalnya terpaksa mencari kelainan untuk menghasilkan produk anyaman dengan memasukkan elemen warna ekoran generasi muda masa kini kurang berminat untuk menyambung legasi kraf kerana pembuatannya memakan masa dan memerlukan ketelitian terutama produk dengan ciri-ciri kesenian tertentu.

“Anak muda kurang berminat sebab perlu sabar. Biasanya akan belajar tenik anyaman pahat sebelum diteruskan dengan bentuk dan corak yang lebih halus serta mencabar, namun mereka juga berpotensi menghasilkan produk berkualiti sekiranya cepat belajar," katanya.

Zubaidah berkata produk yang bercorak dan berwarna boleh dijual pada harga lebih tinggi seperti bekas nasi, bakul dan tikar kerana saiz yang dihasilkan lebih besar serta halus, bergantung kepada bahan anyaman seperti daun nipah atau rotan.

“Harga bergantung pada saiz dan ketelitian dengan yang kecil antara RM30 hingga RM40, manakala yang besar boleh mencecah RM100. Semua dibuat dengan tangan dan mengambil masa lama” katanya.

Samiyah Sabak, 44, pula berkata orang ramai beranggapan hampir kesemua produk kraf yang dihasilkan adalah mahal dan tidak praktikal untuk dimiliki terutamanya produk kegunaan harian.

"Tidak semua mahal, ada yang murah dan mampu milik. Sekiranya ada permintaan khas daripada pelanggan, kami sedia untuk berbincang mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pasar Mui Mah Meri 2025 berlangsung selama dua hari bermula semalam telah membuka peluang kepada penduduk 11 buah kampung Orang Asli di seluruh Selangor menjana pendapatan dan mengetengahkan keistimewaan Mah Meri menggunakan konsep 'pasar sehari'.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan