KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi berpangkalan di Sarawak, Insights Analytics Bhd meraih RM43.56 juta daripada terbitan awamnya sebanyak 121 juta saham baharu pada harga terbitan 36 sen sesaham ketika mula disenarai di Pasaran ACE.
Langkah tawaran awam permulaan (IPO) itu termasuk tawaran penjualan 27.5 juta saham sedia ada kepada pelabur bumiputera diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi penempatan persendirian.
Daripada jumlah hasil berkenaan, sebanyak RM22.2 juta (50.9 peratus) akan digunakan sebagai modal kerja untuk projek yang sedang berjalan dan akan datang, RM9 juta (20.7 peratus) untuk pelaburan dan pengambilalihan strategik.
Selain itu, RM4.4 juta (10.1 peratus) digunakan untuk membangunkan pejabat korporat dan pusat data baharu di Sarawak, RM1.86 juta (4.3 peratus) untuk mengembangkan operasi Tekonologi Maklumat (IT) dan RM1.21 juta (2.8 peratus) untuk pejabat cawangannya di Semenanjung Malaysia, manakala Baki RM4.9 juta (11.2 peratus) telah diperuntukkan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pada harga IPO 36 sen sesaham, permodalan pasaran Insights Analytics berjumlah kira-kira RM198 juta semasa penyenaraian, berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 550 juta saham.
Pengarah Urusannya, Frank Wee berkata inisiatif jangka panjang syarikat itu telah mewujudkan rancangan projek yang kukuh dalam industri air.
“Dengan teknologi dan rekod prestasi kami yang terbukti, Insights Analytics berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat transformasi dan pendigitalan air Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 10.19 pagi, saham syarikat meningkat 30 sen kepada 66 sen dengan 154.69 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
