AM

ASEAN-KOREA PERKUKUH PERKONGSIAN STRATEGIK KOMPREHENSIF MELALUI TEKNOLOGI, AI

27/10/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- ASEAN dan Korea Selatan  komited memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama, khususnya dalam bidang pemindahan teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta kerjasama dalam pertukaran maklumat dan memerangi jenayah siber.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata komitmen itu dizahirkan pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

“Ini merupakan rakan dialog ASEAN-Korea yang telah pun lama, lebih daripada 30 tahun dan hubungan ASEAN dengan Korea ini telah pun dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif kerana hubungan dagang ASEAN-Korea ini amat besar.

“ASEAN masih lagi mahu supaya hubungan dua hala ASEAN-Korea ini dipertingkatkan, khususnya dalam bidang pemindahan teknologi dan juga kerjasama tentang AI dan yang lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung mempengerusikan bersama sidang kemuncak berkenaan.

Turut hadir pemimpin negara anggota ASEAN lain, iaitu Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao dan Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah. 

Indonesia dan Myanmar pula masing-masing diwakili Menteri Luar Sugiono dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar U Hau Khan Sum.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di pusat konvensyen itu selama tiga hari mulai semalam di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan lebih 3,000 delegasi serta pemimpin penting daripada lebih 30 negara dan organisasi bagi memperkukuh penglibatan serta kerjasama serantau.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan