KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,537 bot pukat tunda masih beroperasi di Zon B setakat ini, dengan jumlah itu akan dikurangkan secara berperingkat sebelum diharamkan pada 2030.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari yang mewakili Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata Dasar Penghapusan Pukat Tunda Zon B masih dilaksanakan melalui Jabatan Perikanan seperti diumumkan pada 2021.
“Pelaksanaan dasar itu berdepan beberapa cabaran utama termasuk kebergantungan ekonomi tinggi nelayan pukat tunda terhadap aktiviti berkenaan sebagai sumber pendapatan utama, dengan 100 peratus bot dikendalikan secara individu atau keluarga.
“Selain itu, proses penstrukturan semula memerlukan kos pengubahsuaian bot yang tinggi dianggarkan melebihi RM250,000 bagi setiap bot sekiranya ingin berpindah dari Zon B kepada operasi di Zon C,” katanya menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu halangan sebenar pelaksanaan dasar itu yang masih belum direalisasikan pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Walaupun berdepan cabaran, beliau berkata dasar berkenaan tetap diteruskan melalui beberapa langkah kawalan berperingkat termasuk penetapan saiz minimum mata pukat (keroncong) 38 milimeter bagi mengurangkan tangkapan ikan juvenil serta kewajipan pemasangan peranti Automatic Identification System (AIS) dan Mobile Transceiver Unit (MTU) bagi memastikan pemantauan lokasi vesel secara masa nyata.
“Langkah lain termasuk penzonan semula kawasan penangkapan ikan di pantai barat Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan pertindihan operasi antara Zon A dan Zon B, serta penggantungan lesen dan penahanan subsidi minyak bagi vesel dikesan menceroboh dalam lingkungan lima batu nautika dari pantai,” katanya.
Adly berkata setakat 2024, sebanyak 386 bot dikeluarkan daripada kategori pukat tunda Zon B melalui proses pembatalan lesen, pertukaran zon operasi serta penukaran jenis peralatan bagi mematuhi dasar pengurangan tekanan terhadap sumber perikanan pantai.
Beliau turut memaklumkan dari 2021 hingga Jun 2025, sebanyak 67 aduan rasmi pencerobohan Zon Penangkapan Ikan oleh pukat tunda diterima dan ditangani.
“Melalui kerjasama operasi bersepadu dengan agensi penguat kuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin, sebanyak 423 kes pencerobohan pukat tunda di seluruh negara direkodkan antara 2021 hingga 2024,” katanya.
Dasar itu menetapkan sasaran mengurangkan bilangan bot pukat tunda Zon B daripada 4,800 kepada 1,950 bot menjelang 2025, sebelum pengharaman penuh operasi pukat tunda di zon berkenaan pada 2030.
-- BERNAMA
