Oleh R. Thivyamalini and Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Beberapa mesyuarat peringkat tinggi dan dua hala telah diadakan pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek pertumbuhan ekonomi, keselamatan serta pembangunan mampan.
Antara yang berlangsung ialah Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima dan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-26, selain sesi libat urus bersama pemimpin dari Kanada, Korea Selatan, Rusia serta India.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sidang Kemuncak RCEP kali ini amat signifikan merupakan mesyuarat pertama para pemimpin RCEP selepas perjanjian itu ditandatangani pada 2020, ketika dunia berdepan kemuncak penularan pandemik COVID-19.
Mesyuarat itu menekankan kepentingan pelaksanaan pembaharuan menyeluruh oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi memastikan organisasi tersebut dapat memperjuangkan kepentingan semua ahlinya dengan lebih berkesan.
Menerusi pernyataan bersama para pemimpinnya, RCEP yang merangkumi 10 negara anggota ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand menegaskan semula komitmen mereka terhadap peraturan dan prinsip WTO sebagai asas sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus, adil dan berasaskan peraturan sekali gus memastikan kebolehramalan serta layanan tidak diskriminatif bagi semua rakan dagang.
Para pemimpin RCEP turut mengulangi komitmen mereka untuk tidak mengambil sebarang langkah yang bercanggah dengan kewajipan di bawah Perjanjian RCEP bagi memastikan pasaran kekal terbuka, bebas dan berasaskan peraturan selain menghapuskan halangan perdagangan yang tidak perlu serta memperkukuh kemudahan perdagangan dan pelaburan untuk semua pihak.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan, Perdana Menteri berkata satu ekosistem yang memupuk penciptaan peluang baharu, pertumbuhan inklusif dan pasaran terbuka dapat dibentuk dengan memanfaatkan potensi pertumbuhan pesat ASEAN bersama kekuatan teknologi dan ekonomi Korea Selatan.
Sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik tahun ini, Malaysia dan Korea Selatan turut menegaskan semula komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berlandaskan perkongsian strategik yang dimeterai pada 2024.
Malaysia dan Korea Selatan turut memuktamadkan rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas hari ini.
Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Republik Korea (MKFTA) merangkumi pelbagai aspek termasuk barangan, perkhidmatan, pelaburan, kemudahan kastam, sanitari fitosanitari, perdagangan digital, ekonomi hijau, bioekonomi dan kerjasama ekonomi.
Bab mengenai Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Kapasiti kekal sebagai keutamaan dan akan menjadi fokus utama Malaysia dalam Perjanjian Perdagangan Bebas ini.
MKFTA dijangka menjadi Perjanjian Perdagangan Bebas ke-19 Malaysia setakat ini selaras dengan usaha negara untuk mempelbagaikan pasaran eksport di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
Tahun lepas, Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM109.68 juta.
Dalam acara berasingan, Malaysia dan Kanada bersetuju untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan pelaburan sambil meneroka peluang baharu dalam sektor tenaga hijau, inovasi dan pendidikan bagi memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Anwar turut menyeru para pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk memperbaharui matlamat bersama dan mengulangi komitmen mereka terhadap dialog, kerjasama dan prinsip multilateralisme dalam menangani cabaran serantau serta global.
Sempena ulang tahun ke-20 EAS, Anwar berkata forum yang diterajui para pemimpin itu diasaskan berlandaskan kebijaksanaan dan pandangan jauh pengasasnya, bertujuan menjadi platform dialog strategik, politik dan ekonomi, dengan ASEAN sebagai penggerak utamanya.
Malaysia turut menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas pendirian dan dasar luar yang konsisten serta berprinsip dalam isu Palestin, khususnya kesediaan negara menyertai misi pengaman PBB yang berpotensi di Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres atas usaha berterusan beliau dalam memperjuangkan keamanan di peringkat global.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15, dan berkata Guterres telah menjadi suara yang konsisten, lantang dan berani dalam mempertahankan kerjasama multilateral, kebebasan serta hak negara dan golongan minoriti.
Hari kedua sidang kemuncak diakhiri dengan majlis makan malam gala yang dihoskan oleh Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang dihadiri oleh para pemimpin ASEAN serta pasangan masing-masing.
Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan memukau daripada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M.Nasir serta Dayang Nurfaizah.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan,” berjaya menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan serta pemimpin lebih 30 negara dan organisasi antarabangsa bagi memperkukuh libat urus serta kerjasama serantau.
-- BERNAMA
