AM

SEKTOR AKUAKULTUR BERKEMBANG, PACU MALAYSIA CAPAI SSR IKAN LEBIH 90 PERATUS - MOHAMAD SABU

28/10/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Sektor akuakultur yang berkembang pesat di seluruh negara menjadi faktor utama kejayaan Malaysia mencapai kadar sara diri (SSR) ikan melebihi 90 peratus ketika ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata pencapaian itu turut disumbangkan oleh sambutan menggalakkan terhadap aktiviti penternakan berasaskan teknologi moden seperti sistem bioflok yang semakin meluas dalam kalangan pengusaha dan nelayan tempatan.

“Alhamdulillah, pencapaian SSR bagi ikan di Malaysia melebihi 90 peratus, terutamanya hasil sumbangan daripada sektor akuakultur yang kini berkembang begitu baik di hampir seluruh negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu hala tuju sektor akuakultur khususnya penternakan ikan di Malaysia sebagai alternatif kepada aktiviti perikanan laut dalam bagi mengekalkan SSR hasil perikanan negara pada tahap tinggi, iaitu sekitar 90 peratus.

Sementara itu, beliau berkata pembangunan di pesisir pantai yang pesat menyebabkan sebahagian kawasan pendaratan dan penangkapan ikan seperti di Pulau Pinang, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan terjejas akibat pencemaran.

Justeru, bagi memastikan kelangsungan sumber pendapatan nelayan, beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah memindahkan nelayan terlibat ke sektor akuakultur sebagai alternatif yang lebih mampan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025.

“Peralihan ini mengambil masa, tetapi sambutan daripada nelayan amat memberangsangkan. Sebab itu dari segi perkembangan akuakultur di Malaysia kini berada di tahap yang cukup baik,” katanya.

Beliau berkata walaupun penangkapan ikan di laut menunjukkan sedikit kekurangan, peluasan kawasan larangan taman laut yang banyak diperkenalkan melalui RUU sebelum ini membantu memastikan stok ikan terpelihara serta mengekalkan kelestarian ekosistem marin.

Menjawab soalan asal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai langkah membendung Persatuan Nelayan Kawasan yang kurang efektif dalam menjaga kebajikan ahli, Mohamad menjelaskan persatuan itu ditubuhkan di bawah Akta Persatuan Nelayan 1971 dengan peranan utama meningkatkan kebajikan dan pembangunan sosioekonomi nelayan pada peringkat akar umbi.

“Sehingga kini terdapat sebuah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Persatuan Nelayan Negeri (14) dan Persatuan Nelayan Kawasan (101) di seluruh negara dengan jumlah keahlian 84,000 orang,” katanya. 

Beliau berkata Nekmat berperanan memperkasakan ekonomi dan sosioekonomi ahli melalui pelbagai inisiatif termasuk mengurus bantuan kewangan, menyediakan kemudahan kredit serta latihan, membantu pengumpulan data, pemasaran hasil dan pembentukan modal melalui penubuhan syarikat atau penyertaan ekuiti dalam usaha perniagaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan