AM

JPJ PERAK KUTIP RM60,750 HASIL LELONGAN KENDERAAN

28/10/2025 02:44 PM

IPOH, 28 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengutip RM60,750 menerusi siri lelongan awam kedua tahun ini melibatkan 50 kenderaan disita, hari ini. 

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata seramai 52 pembida mengambil bahagian dalam lelongan yang turut melibatkan 40 kenderaan boleh dilesenkan.

“Bidaan tertinggi ialah RM11,000 untuk sebuah kereta Honda Stream manakala terendah RM50 untuk tiga motosikal jenis Suzuki RC80, SYM Sport Bonus SR dan Demak DMS kategori scrap,” katanya pada sidang media selepas sesi lelongan di sini hari ini.

Beliau berkata kenderaan terlibat disita menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan seperti tiada cukai jalan dan tiada insurans serta telah melalui prosedur untuk dilucutkan hak.

“Siri pertama lelongan pada Februari lepas mengutip RM250,000 menerusi jualan 59 kenderaan dengan bidaan tertinggi RM49,000 iaitu sebuah lori baharu yang tidak didaftarkan,” katanya.

Mohammad Yusoff berkata JPJ Perak juga memperoleh RM5,320 daripada hasil jualan buku menjadikan kutipan keseluruhan RM66,070.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan