AM

UTP RAI KONVOKESYEN KE-25, CATAT SEPARUH ABAD KEUNGGULAN DAN INOVASI

28/10/2025 04:47 PM

SERI ISKANDAR, 28 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) meraikan Majlis Konvokesyen ke-25 pada 26 dan 27 Okt lepas, menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah universiti itu yang terus komited melahirkan graduan berdaya saing serta memacu inovasi untuk negara dan dunia.

Seramai 1,441 graduan menerima skrol masing-masing pada majlis itu, terdiri daripada 1,031 graduan peringkat sarjana muda, 326 sarjana dan 84 doktor falsafah (PhD).

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pro-Canselor UTP Tan Sri Zaharah Ibrahim, yang mengingatkan para graduan bahawa mereka meninggalkan UTP bukan sekadar sebagai alumni, tetapi sebagai duta kepada institusi berkenaan.

“Pertahankan kredibiliti universiti dengan integriti, hayati nilai-nilainya dengan penuh amanah, dan jadikan kejayaan anda sebagai cerminan kepada standard yang membentuk diri anda,” katanya.

Beliau turut menasihati graduan agar kekal berpegang kepada kejujuran dan tujuan yang jelas dalam menuntut ilmu, khususnya dalam menghadapi cabaran era “pasca-kebenaran” masa kini.

Sementara itu, Presiden UTP, Ir Mohamed Firouz Asnan berkata konvokesyen tahun ini bukan sahaja meraikan kejayaan akademik, malah melambangkan 25 tahun pertumbuhan, ketahanan dan kecemerlangan universiti berkenaan.

Beliau menyorot beberapa kejayaan terkini UTP, termasuk pencapaian cemerlang dalam penarafan universiti global. UTP kini berada dalam kelompok 201-250 Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025, sekali gus meletakkannya dalam kalangan satu peratus universiti terbaik dunia, di samping mengekalkan kedudukan sebagai universiti nombor satu di Malaysia dan universiti swasta terbaik di ASEAN.

UTP turut menduduki tempat ke-43 dalam THE Asia University Rankings dan kekal sebagai universiti swasta utama negara dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi menerusi QS World University Rankings by Subject 2025.

Selain itu, universiti berkenaan mengekalkan penarafan enam bintang MyRA, mencerminkan mutu penyelidikan serta peranan UTP dalam menerajui inovasi, menangani cabaran dunia sebenar dan memperkukuh ekonomi berasaskan pengetahuan negara.

Antara pencapaian bermakna UTP ialah pengiktirafan Pusat Penyelidikan Isyarat dan Pengimejan Pintar (CISIR) sebagai National Higher Institution Centre of Excellence (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi atas sumbangan perintisnya dalam bidang neuroteknologi untuk kesihatan mental, pendidikan dan daya tahan di tempat kerja.

Mohamed Firouz turut menekankan beberapa inovasi signifikan universiti itu termasuk ELEFence, sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membantu mengurangkan konflik antara manusia dan gajah melalui pemantauan pintar serta tindak balas pantas. UTP juga meneruskan penyelidikan dalam teknologi penangkapan karbon bagi menyokong agenda kelestarian dan kemajuan masyarakat.

Sebagai sebahagian daripada transformasi kampus, UTP baru-baru ini menyiapkan Nadi@UTP Student Centre dan Residential Village 6, yang direka bentuk untuk mempertingkat pengalaman hidup dan pembelajaran pelajar. UTP turut menyasarkan status Net Zero Carbon menjelang 2050 menerusi inisiatif seperti Projek Solar Gentari–UTP dan pembangunan Warisan Hijau Trail, yang akan berfungsi sebagai makmal hidup untuk kelestarian.

Mencerminkan visi baharu UTP sebagai “peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan teknologi demi masa depan yang lebih baik,” Mohamed Firouz berkata universiti itu terus mentakrif semula pendidikan kejuruteraan menerusi UTP Full Potential Programme (UFPP) serta pelancaran program Sarjana Muda Kejuruteraan Integrasi — yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Program berkenaan melahirkan jurutera rentas disiplin yang menggabungkan bidang mekanikal, kimia, elektrik, digital dan sistem manusia, selaras dengan matlamat Revolusi Industri 4.0 dan agenda kelestarian global.

Di bawah misi baharunya, UTP bukan sekadar berfokus melahirkan graduan serba boleh, tetapi turut menyokong perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka.

Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional (CAPE) universiti itu menawarkan program berpaksikan eksekutif yang sejajar dengan keperluan industri, berasaskan kekuatan penyelidikan serta dipacu oleh teknologi pendidikan (EdTech), bagi membantu para profesional terus berkembang dan menyesuaikan diri dalam kerjaya masing-masing.

Dalam amanatnya kepada para graduan, Mohamed Firouz mengingatkan bahawa ke mana sahaja mereka melangkah, mereka membawa “DNA UTP” — cemerlang dari segi teknikal, beretika dan bertanggungjawab terhadap masyarakat, bersedia menjadi agen perubahan positif di seluruh dunia.

"Anda bukan sekadar jurutera atau ahli teknologi, tetapi arkitek masa depan yang membentuk dunia bukan hanya melalui apa yang anda cipta, tetapi juga bagaimana anda mengangkat martabat orang lain,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-25 majlis konvokesyen itu, pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan termasuk Alumni Homecoming, ConvoFest, larian ConvoDash, pertandingan memancing UTP Daiwa Bass Master Challenge serta acara berbasikal ConvoRide.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan