AM

AOIP: JEPUN PERLUAS KERJASAMA STRATEGIK DENGAN ASEAN

28/10/2025 09:36 PM

Oleh N. Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Jepun mengiktiraf peranan penting ASEAN dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau dan Tokyo menegaskan semula komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama di bawah kerangka kerja Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

Setiausaha Akhbar Kementerian Luar Jepun Toshihiro Kitamura berkata visi AOIP sejajar dengan dasar Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) negara matahari terbit itu dan kerjasama boleh dipertingkatkan demi manfaat kedua-dua wilayah.

“Kedua-dua kerangka kerja berkongsi dasar utama seperti keterbukaan, keterangkuman, ketelusan dan penegakan undang-undang,” kata Kitamura dalam taklimat media di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Satu kenyataan bersama yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN dan Perdana Jepun Sanae Takaichi susulan Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28 pada Ahad antara lain menggariskan komitmen oleh kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama, selari dengan AOIP, dalam menangani cabaran global bagi mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran dengan memanfaatkan pertumbuhan pesat rantau ini.

Kedua-dua pihak turut komited untuk melaksanakan kerjasama yang bermakna, praktikal dan ketara menerusi projek-projek yang konkrit di bawah empat bidang keutamaan AOIP iaitu kerjasama maritim, kesalinghubungan, Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 2030 selain ekonomi serta bidang-bidang lain.

“Kerjasama berdasarkan kenyataan bersama itu mengenai menggalakkan AOIP akan turut melangkaui keselamatan termasuk pencegahan pencemaran plastik di laut, navigasi satelit untuk kesalinghubungan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Ini merupakan kenyataan bersama mengenai AOIP kedua selepas yang pertama pada 2020.

Kitamura berkata Jepun bersedia untuk menyokong keperluan ASEAN bagi pelbagai usaha ke arah mencapai neutraliti karbon pada 2050 mengambil kira pertumbuhan pesat rantau itu dan ekonomi berasaskan pembuatan.

Di bawah kerangka kerja ASEAN Campur Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan), Jepun turut menegaskan semula komitmennya terhadap kerjasama pratikal termasuk pembiayaan kecemasan segera dalam krisis dan keterjaminan makanan khususnya simpanan beras kecemasan, di bawah kerangka kerja multilateral itu.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kabinet bagi Hal Ehwal Awam dari Pejabat Perdana Menteri, Takahito Misumi berkata Jepun akan terus mempertingkatkan kerjasama keselamatan ekonomi bersama ASEAN, khususnya Malaysia, dalam bidang seperti semikonduktor dan mineral penting.

Beliau berkata kerjasama mengenai nadir bumi di Terengganu, Kelantan dan Pahang adalah sektor yang berpotensi untuk Malaysia dan Jepun.

Jepun mengimport 15.5 peratus daripada gas asli cecair (LNG)nya dari Malaysia dan sedang mengembangkan kerjasama dalam projek hidrogen dan ammonia, termasuk inisiatif hidrogen di Sarawak, kajian kuasa gas menggunakan ammonia, Grid Kuasa ASEAN serta projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) antara Petronas dengan syarikat Jepun seperti Mitsubishi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan