Oleh Siti Noor Afera Abu, Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Puti Iylia Maisarah
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Dahulu hanya sekadar bukti pengenalan diri, namun kini kad pengenalan Malaysia telah berkembang menjadi pemangkin transformasi digital negara, menghubungkan rakyat dengan perkhidmatan kerajaan, kemudahan harian serta peluang baharu dalam ekonomi yang semakin terhubung.
Daripada sekeping ‘kad beras’ kertas, yang dikeluarkan pada 1948 bagi tujuan keselamatan dan kawalan bekalan makanan semasa Darurat Tanah Melayu, kepada kad plastik biru pada 1960 dan versi gambar berwarna pada 1999, kad ini berevolusi menjadi MyKad pada 2001, yang mengintegrasikan pelbagai aplikasi menerusi cip komputer yang terbina di dalamnya.
Perkembangan itu mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk membangunkan sebuah ekonomi digital yang selamat, inklusif dan berteraskan rakyat di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Kerangka yang merangkumi strategi untuk memastikan kesejahteraan menyeluruh, merangsang pertumbuhan melalui inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta memperkukuh kecekapan dalam pelaksanaan reformasi subsidi dan tadbir urus.
Bagi menyokong matlamat ini, pelaksanaan inisiatif MyDigital ID memperkukuh keberkesanan penyaluran bantuan kerajaan melalui pengesahan digital yang selamat. Ia memastikan bantuan sosial dan subsidi sampai kepada penerima yang layak, di samping mengurangkan ketirisan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam membina ekonomi yang lebih inklusif dan berasaskan data.
Namun, dunia digital yang semakin kompleks menuntut sistem identiti yang bukan sahaja selamat tetapi turut memiliki tahap kepercayaan dan daya tahan yang tinggi.
Memacu Visi Digital, Membina Kepercayaan
Dalam konteks ini, Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) menegaskan kekukuhan sistem identiti digital perlu berasaskan pada data rakyat yang disahkan, kaedah pengesahan pelbagai faktor serta reka bentuk yang mengutamakan privasi iaitu konsep yang kini dilihat sedang direalisasikan melalui integrasi MyKad dan MyDigital ID.
Pengerusi PIKOM Alex Liew berkata kebanyakan kerajaan di seluruh dunia kini melaksanakan rangka kerja identiti berlapis yang menggabungkan data pendaftaran awam, biometrik dan pengesahan kriptografi bagi mencegah kecurian identiti serta membolehkan akses yang selamat dan lancar kepada perkhidmatan penting, dan Malaysia dilihat menggunakan pendekatan serupa.
“Inisiatif ini akan menggunakan pengesahan biometrik dan kelayakan yang dienkripsi bagi membolehkan akses selamat berdasarkan kebenaran kepada perkhidmatan awam serta kewangan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata lebih penting Malaysia tidak bermula daripada kosong kerana keputusan kerajaan untuk memanfaatkan infrastruktur sedia ada iaitu MyKad bagi menentukan kelayakan subsidi bersasar terbukti menjimatkan kos serta inklusif tanpa keperluan membina platform baharu.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilaporkan berkata MyKad telah digunakan untuk menyalurkan bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada sembilan juta penerima, sekali gus membuktikan sistem yang boleh dipercayai sudah pun wujud.
Ketepatan Sasaran Dan Pembaharuan Fiskal
Berdasarkan perkara itu, platform sama kini digunakan untuk mengesahkan kelayakan 16 juta pemandu di Malaysia bagi membeli petrol RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter yang sekali lagi memperkukuh peranan MyKad sebagai alat paling dipercayai dalam pelaksanaan bantuan bersasar dan pengesahan digital.
Penasihat Ekonomi Kanan Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik yang juga Ahli Majlis Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Dr Anthony Dass berkata penggunaan MyKad bagi pelaksanaan subsidi bersasar seperti BUDI MADANI RON95 menandakan peralihan ke arah reformasi fiskal yang lebih pintar serta berpaksikan data.
“Dengan menghubungkan data rakyat yang telah disahkan termasuk pendapatan, isi rumah dan pemilikan kenderaan secara terus kepada saluran bantuan, isu pertindihan serta penipuan boleh dihapuskan,” katanya, sambil menegaskan pendekatan itu juga memastikan bantuan sampai kepada penerima yang benar-benar layak.
Namun, beliau turut mengingatkan kerajaan supaya menangani isu keselamatan data serta jurang digital, dengan mencadangkan penggubalan Akta Perlindungan Data Awam, penubuhan Ombudsman Digital Bebas serta mengekalkan akses luar talian melalui pejabat pos atau kaunter bergerak bagi membantu komuniti luar bandar dan golongan warga emas.
Melihat ke hadapan, Dass percaya fungsi MyKad boleh diperluas untuk menjadi ‘pasport perkhidmatan awam’ Malaysia yang mengintegrasikan bantuan tunai, kredit cukai dan penjagaan kesihatan. Namun, mengingatkan sekiranya tidak diurus dengan baik, sistem ini berisiko menjadi ‘tembok digital’ yang memisahkan rakyat celik digital dengan mereka yang ketinggalan.
Komitmen JPN Terhadap Identiti Digital Yang Selamat
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias berkata jabatan itu kini kerjasama dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memperkukuh perkhidmatan kewangan berasaskan identiti digital melalui MyKad.
“MyKad kini menyokong agenda pendigitalan kerajaan sebagai alat verifikasi identiti bagi urusan perkhidmatan kerajaan termasuk STR, e-Kasih dan akses kepada pelbagai sistem e-kerajaan seperti MyDigital ID, MySejahtera, e-Tanah dan MyGovUC,” katanya.
Beliau juga menjelaskan cip dalam setiap MyKad dilindungi oleh kekunci keselamatan dan modul pengesahan khas (SAM) yang hanya dikeluarkan oleh JPN.
“Data dalam cip MyKad tidak boleh ditambah, diubah atau dipadam,” tegasnya, sambil menambah penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pengesahan identiti dan pencegahan penipuan sedang diteliti.
Beliau berkata walaupun MyKad ketika ini hanya diiktiraf dalam bentuk fizikal di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959, kerajaan sedang meneliti rangka kerja pengesahan identiti digital dalam lingkungan undang-undang sedia ada.
MyKad Dalam Kehidupan Harian
Badrul Hisham turut menegaskan MyKad adalah tanggungjawab setiap warganegara dan tidak boleh dipegang atau digunakan oleh orang lain walaupun ahli keluarga.
Maznah Mahani Hamid, 53, seorang ibu tunggal enam anak berkata MyKad kini amat bernilai bukan sahaja sebagai bukti identiti tetapi kunci utama untuk rakyat mengakses pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
“Sekarang nak isi minyak pun senang, terus guna MyKad untuk tuntut subsidi (BUDI MADANI RON95). Dulu kena isi maklumat sana sini, sekarang semuanya boleh dibuat menggunakan MyKad sahaja,” katanya.
Seorang pekerja sektor swasta Nur Nadhirah Ali Imran, 27, turut berkongsi pandangan sama dan menyifatkan MyKad kini cukup signifikan dalam rutin kehidupannya.
“Saya guna MyKad setiap hari untuk kemudahan Touch ‘n Go, daripada bayar tol hingga naik pengangkutan awam guna pas My50. Satu kad dah cukup untuk semua,” katanya.
Haluan Masa Depan
Diperkenalkan sebagai satu daripada tujuh aplikasi perdana di bawah Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 2001, MyKad bertujuan untuk memodenkan sistem pengenalan diri negara serta mewujudkan platform digital yang selamat dan bersepadu bagi rakyat Malaysia.
Setakat ini, empat versi MyKad telah diperkenalkan dengan versi terkini dilancarkan pada 2012. JPN kini dalam fasa akhir membangunkan MyKad versi terbaharu dengan ciri keselamatan yang dipertingkat, sekali gus menandakan langkah seterusnya dalam perjalanan digital Malaysia.
-- BERNAMA
