AM

MALAYSIA TERUS SOKONG USAHA PERKUKUH KOMUNITI ASEAN - MOHAMAD HASAN

29/10/2025 10:46 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh dan memajukan Komuniti ASEAN, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, terima kasih sekali lagi kerana berada di Kuala Lumpur. Malaysia akan terus memberikan sokongan padu ke arah memperkukuh dan memajukan Komuniti ASEAN kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir di sini pada Selasa.

“Ia merupakan hasil usaha besar secara kolektif yang memungkinkan Sidang Kemuncak ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan ini berlangsung dengan jayanya, sekali gus menyokong peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sepanjang perjalanan yang amat bermakna ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN, Menteri Luar serta Rakan Dialog termasuk Australia, Kanada, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung ASEAN, wakil-wakil entiti ASEAN, rakan-rakan dari Finland, Majlis Eropah, FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, serta Bank Dunia,” katanya.

Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau dan kepada rakan-rakan Kabinet atas kerjasama yang erat sepanjang tahun Kepengerusian Malaysia.

Beliau turut memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas penyelarasan dan dedikasi cemerlang sepanjang siri perhimpunan peringkat tinggi tersebut.

Menteri Luar itu turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh Malaysia menerajui ASEAN.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas kerjasama yang telah ditunjukkan sepanjang Sidang Kemuncak ke-46 dan ke-47, kerana menghayati sepenuhnya semangat solidariti dan persaudaraan yang menjadi nadi kepada Asia Tenggara,” katanya.

Mengimbas kembali sidang kemuncak itu, Mohamad berkata Malaysia dan ASEAN telah mencapai kemajuan yang bermakna serta merangka hala tuju strategik baharu dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rantau lain.

“Kita telah mencipta sejarah pada Sidang Kemuncak ini dengan memperluas skop ASEAN dengan penyertaan rakan baharu kita, Timor-Leste - sebuah negara yang dibina atas ketabahan dan harapan yang tidak pernah luntur,” katanya.

Mohamad menutup hantaran itu dengan menyatakan harapan agar ASEAN terus makmur sebagai sebuah komuniti yang bersatu padu dan berdaya tahan.

“Semoga jalinan kerjasama kita terus berkembang subur, dan semoga kita menghadapi masa depan sebagai satu Komuniti ASEAN - bersatu, berdaya tahan dan semakin kukuh,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan