KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia, Istana Budaya Mohd Yazid Zakaria yang meninggal dunia hari ini.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai sebutir permata dan pemimpin seni yang komited, berdedikasi serta disegani.
“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian saudara Mohd Yazid pagi tadi. Allahyarham baru sahaja mengetuai orkestra semasa majlis makan malam Gala ASEAN dua hari lalu.
“Kehilangannya amat dirasai. Bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Yazid pernah dinobatkan sebagai Tokoh Pekerja Negara (Perkhidmatan Awam) sempena sambutan Hari Pekerja 2024.
-- BERNAMA
