KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki cedera parah di kepala dan tangan kanan selepas ditetak bapa saudara angkatnya dalam kejadian di Kampung Kulim, Pasir Puteh dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata dalam kejadian 6.35 petang itu, mangsa yang berusia 44 tahun dipercayai ditetak beberapa kali dengan sebilah parang oleh suspek.
Beliau berkata suspek yang berumur 55 tahun merupakan adik angkat kepada ibu mangsa dan tinggal berhampiran rumah lelaki itu.
"Suspek dipercayai pergi ke rumah mangsa sebelum menetak lelaki itu beberapa kali. Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham akibat dendam lama,” katanya kepada Bernama hari ini.
Zaizul Rizal berkata polis menerima laporan daripada orang awam dan sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek telah melarikan diri namun berjaya ditahan di rumahnya tidak lama kemudian.
"Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
