KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke pejabat di Putrajaya, selepas mengharungi jadual padat mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang berakhir semalam.
Menerusi perkongsian sekeping gambar di Facebook, yang memaparkan beliau sedang menandatangani surat dengan tanda pagar #MADANIbekerja, dan telah mendapat 10,000 tanda suka dan lebih seribu komen, setakat ini.
Di ruangan komen, pengguna Facebook berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana berkerja keras untuk negara, selain ada yang turut menitipkan nasihat supaya beliau menjaga makan dan kesihatan.
“Saya yang tengok ini pun penat...Moga dilimpahkan kebaikan dan rahmat sekalian alam untuk DSAI... terima kasih kerja keras untuk Malaysia,” kata pengguna Facebook MK Syuhaira Ramly di ruangan komen.
Tidak kurang juga komen daripada beberapa rakyat Kemboja yang menggunakan nama Sok Den, Mey Votey Morakot, Phala Sambath, Pov Moeun dan En Meng, yang menghargai peranan yang dimainkan Malaysia dalam menjayakan Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja.
“Rakyat Kemboja ingin menyampaikan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat atas keamanan di Kemboja. Sila terima rasa hormat rakyat Kemboja kepada Yang Amat Berhormat Anwar Ibrahim,” kata Sok Den.
Pengguna Facebook, Firdaus Basri pula berterima kasih kepada Anwar kerana telah menunjukkan kepimpinan yang hebat, manakala Abdul Azim pula mendoakan Perdana Menteri semoga diberikan kesihatan tubuh badan dan mental untuk terus bekerja dengan baik untuk negara.
Semalam, ketika berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Anwar berkata Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semangat perpaduan, kesabaran dan kepimpinan yang mantap.
Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Semalam juga Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi 2025.
-- BERNAMA
