SEPANG, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Sistem Semakan Al-Qur’an Pintar (iTAQ) berasaskan teknologi AI bagi mempercepat proses dan menyemak ketepatan pencetakan dan penerbitan al-Quran.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sistem yang diterajui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) itu akan memperkukuhkan sistem pemeliharaan al-Quran, bersesuaian dengan cabaran semasa yang semakin kompleks.
Beliau berkata LPPPQ dalam melaksanakan inovasi seperti sistem iTAQ tidak mengetepikan tanggungjawab terhadap kesahihan teks al-Quran serta hukum syarak.
“Lembaga berperanan menjaga kesucian al-Quran. Lembaga bukan penghalang kepada kemajuan tetapi penapis kepada kemudaratan yang boleh menjejaskan kesahihan bacaan dan kefahaman umat Islam,” katanya pada program Multaqa MADANI bersama LPPPQ dan Lajnah Dibawahnya di sini hari ini.
Selain sistem iTAQ, LPPPQ turut melancarkan Modul Profesionalisme Panel Semakan Al-Qur’an (ProQuran) bertujuan meningkatkan kualiti perunding al-Quran yang dilantik oleh industri pencetakan dan penerbitan al-Quran.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata pihaknya menyita lebih 53,000 pelbagai jenis teks dan bahan al-Quran yang didapati melanggar Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326) bagi tempoh Januari hingga September lepas, dengan 295 kertas siasatan dibuka.
Beliau berkata pada bulan Ramadan lepas sahaja, 201 kertas siasatan dibuka.
“Bagi Ops Mulia sempena bulan Ramadan tahun ini yang bermula 7 Mac hingga 26 Mac, hasil penguatkuasaan adalah sebanyak RM 957,762.10,” katanya.
-- BERNAMA
