AM

MALAYSIA DESAK PENYELESAIAN MENYELURUH ISU GAZA DALAM SETIAP PERTEMUAN DENGAN TRUMP - PM ANWAR

30/10/2025 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Malaysia memanfaatkan setiap peluang pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk secara konsisten mendesak langkah penyelesaian menyeluruh terhadap isu Gaza sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap pertemuannya dengan pemimpin dunia itu, sama ada secara rasmi mahupun peribadi, dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyuarakan isu Gaza.

Beliau menjelaskan bahawa istilah comprehensive settlement atau comprehensive solution digunakan bagi menekankan bahawa penyelesaian sebenar terhadap konflik di Gaza perlu bersifat menyeluruh, bukan sekadar gencatan senjata tanpa mengiktiraf hak kedaulatan rakyat Gaza dan Palestin.

“Secara rasmi, saya membangkitkan isu ini sebanyak tiga kali dan mendapat liputan media. Manakala dalam The Beast (kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat), ia merupakan perbualan empat mata yang bersifat peribadi. Dalam tiga kesempatan rasmi itu, saya menegaskan tentang perlunya ’penyelesaian menyeluruh terhadap masalah Gaza dan Palestin.

“Saya ingin tekankan di sini, yang paling penting bagi saya dan sangat melegakan ialah peluang menyampaikan secara hati ke hati tentang permasalahan Gaza dan Palestin kepada Presiden Donald Trump,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung manfaat hasil pertemuan Anwar dengan Trump khususnya dalam isu Gaza dan perdagangan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru- baru ini.

Anwar berkata Malaysia menggunakan sepenuhnya peluang diplomasi itu untuk menyampaikan pandangan secara terus dan berani, meskipun ramai pemimpin dunia lain memilih untuk tidak berdepan dengan Trump bagi menyuarakan pendirian sebenar dan tegas berhubung isu Gaza.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha pendamaian di Gaza menerusi pelan 20-point plan for Gaza merupakan langkah awal yang penting, namun disifatkan masih rapuh dan memerlukan kekuatan bersama masyarakat antarabangsa.

Anwar berkata hakikat yang perlu diterima semua pihak ialah AS menjadi faktor penentu kepada penghentian serangan atau pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.

“Kita sudah kecam, marah dan nyatakan ketidaksetujuan terhadap kezaliman di Gaza kepada AS… jadi apabila ada peluang, kita sampaikanlah pandangan dan cadangan kita untuk penyelesaian yang komprehensif,” katanya.

“Presiden Trump hanya menyebut kepada saya dan kemudian menegaskan semula dalam pertemuannya bahawa beliau akan memastikan "’the peace deal works"’. Bagi saya, itu satu permulaan yang baik,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dengan menyuarakan desakan antarabangsa serta meneruskan usaha lain seperti penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan, selain kesediaan untuk menyertai pasukan ketenteraan damai sekiranya diperlukan.

Beliau berkata menerusi perbincangan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini, pemimpin itu menyatakan hasrat untuk meningkatkan laluan di Rafah Crossing bagi membolehkan bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan disalurkan dengan lebih lancar.

“Perkara ini turut disambut baik oleh banyak negara lain termasuk Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye.

“Maka ada cadangan untuk mengadakan pertemuan antara negara-negara Arab dan negara Islam di Kaherah dalam masa terdekat, dan saya akan hadir sekiranya diundang,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang ingin mengetahui langkah lanjut yang boleh diambil Malaysia selain daripada desakan gencatan senjata di Gaza dan usaha menamatkan kezaliman rejim Israel.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan