LABUAN, 30 Okt (Bernama) -- Persiapan penganjuran Festival Kesenian Borneo 2025 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 13 Nov giat dijalankan.
Penganjuran festival di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan akan menampilkan pelbagai tarikan baharu dan persembahan kebudayaan bagi menawarkan pengalaman istimewa kepada pengunjung.
Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya kini giat melakukan persiapan bagi memastikan penganjuran festival tahunan itu kekal menjadi platform meraikan kepelbagaian warisan budaya rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib berkata edisi tahun ini juga memperkenalkan elemen baharu, selain menyasarkan sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung melawat Labuan sepanjang penganjuran festival itu.
“Antara tarikan ialah rumah tradisional etnik, persembahan pelbagai budaya, pameran kraftangan tradisional dan persembahan istimewa glow in the dark,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kerjasama antara Perbadanan Labuan dan Putrajaya bertujuan memperkukuh daya tarikan festival yang turut mempromosikan Labuan sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadualkan merasmikan festival yang juga akan menampilkan persembahan artis tempatan.
-- BERNAMA
