KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini seharusnya menjadi kebanggaan seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik, dan bukannya dijadikan bahan kecaman atau perbalahan.
Beliau berkata antara kejayaan besar yang dicapai semasa penganjuran sidang kemuncak itu termasuk penerimaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN serta termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, yang wajar dijadikan kebanggaan bersama rakyat Malaysia.
Anwar berkata pengiktirafan antarabangsa, termasuk daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), terhadap peranan aktif Malaysia dalam menjayakan rundingan damai di rantau ini jelas membuktikan keupayaan diplomatik negara yang semakin diyakini dunia.
“Apatah lagi dengan keadaan sekarang apabila nama kita harum, nama Malaysia harum. Kalau lihat dari segi sejarah, ini antara kali pertama berlaku. Gunalah kesempatan ini untuk membangunkan negara.
“Janganlah berasa sakit hati terhadap kejayaan negara. Ini kejayaan negara. Ya, Perdana Menteri boleh datang dan pergi, naik dan jatuh, tetapi negara mesti terus diangkat dan dimajukan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai usaha kerajaan menyeimbangkan hubungan Malaysia dengan kuasa besar dunia.
Perdana Menteri menegaskan kejayaan Malaysia juga dapat dilihat apabila berjaya menghimpunkan pelbagai pemimpin dunia dan kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS), Rusia dan China serta wakil blok BRICS yang turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Malaysia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
Anwar berkata pencapaian tersebut membuktikan kemampuan Malaysia mengimbangi hubungan antarabangsa dengan prinsip berkecuali dan kesederhanaan.
“Bayangkan dalam sidang yang sama, selang beberapa hari, hari ini dengan Amerika Syarikat, kemudian Brazil, Afrika, selepas itu China dan Rusia, dan kita layan semua dengan baik dalam semangat perbincangan yang membina.
“…sebab kita sebagai negara membangun yang relatif kecil perlu berusaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan semua,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa perhatian global terhadap Malaysia tidak seharusnya dianggap sebagai kejayaan peribadinya semata-mata, sebaliknya hasil kerja keras puluhan ribu penjawat awam dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran sidang kemuncak berprofil tinggi itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam, anggota beruniform, mahasiswa serta pihak swasta yang disifatkannya amat cemerlang dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
-- BERNAMA
