KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- China dan Amerika Syarikat (AS) perlu menjadi rakan kerjasama serta sahabat dan perbalahan dua kuasa ekonomi itu dari semasa ke semasa adalah sesuatu yang lazim, kata Presiden Xi Jinping dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Donald Trump di Pangkalan Udara Gimhae di Busan, Korea Selatan.
Trump pula menyifatkan Xi sebagai pemimpin hebat, “Presiden Xi adalah seorang pemimpin hebat bagi sebuah negara hebat dan saya berpendapat kami akan menjalin hubungan persahabatan yang mengagumkan untuk tempoh lama. Kesudian anda bertemu kami adalah satu penghormatan...terima kasih.”
Xi berkata: “Hubungan China kekal stabil secara keseluruhannya (dan) walaupun berbeza keadaan negara, kami jarang bertemu dan adalah lazim bagi dua negara peneraju ekonomi dunia untuk berbalah dari semasa ke semasa dan dalam realiti berdepan cabaran, gelombang serta rintangan.
“Anda dan saya sebagai nakhoda hubungan China-AS, perlu berada di haluan arah yang tepat dan memastikan pelayaran kapal besar hubungan China-AS ini terus belayar. Saya sendiri sentiasa yakin pembangunan China adalah seiring dengan visi untuk menjadikan AS hebat semula,” kata beliau menerusi penstriman video secara langsung yang dikongsi oleh Rumah Putih.
Xi turut berkongsi bahawa kedua-dua pemimpin itu sebelum ini saling berhubung menerusi telefon sebanyak tiga kali serta menerusi beberapa surat dan sentiasa berkomunikasi dengan rapat sejak pemilihan semula Trump sebagai presiden AS.
Beliau berkata Beijing dan Washington juga berkemampuan penuh untuk saling membantu agar berjaya serta mencapai kemakmuran bersama.
“Sejak bertahun lamanya, saya sudah berulang kali menyatakan secara terbuka bahawa China dan AS perlu menjadi rakan kerjasama serta sahabat. Inilah yang telah diajar oleh sejarah dan apa yang menjadi tuntutan realiti,” katanya.
Jelas Xi menerusi sesi rundingan terbaharu, kedua-dua pasukan ekonomi dan perdagangan China dan AS telah mencapai kata sepakat asas bagi menangani kebimbangan utama serta meraih kemajuan yang memberangsangkan.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluan beliau, Trump turut menyentuh konsensus atau kata sepakat yang telah dicapai.
“Bagi saya, kami telah pun bersetuju dalam banyak perkara dan akan melakukan beberapa tindakan sama sekarang,” kata beliau.
Xi juga menyifatkan konsensus itu telah memberi syarat wajar yang diperlukan bagi pertemuan hari ini.
“Presiden (Trump), saya bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan anda bagi membina asas kukuh hubungan China-AS selain mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pembangunan kedua-dua negara.”
Dari sudut lain, Trump menganggap Xi sebagai figura “perunding yang amat tegas” dan perjanjian China-AS dapat dimeterai oleh kedua-dua negara.
Selain itu, Xi menzahirkan penghargaannya di atas sumbangan Trump yang membawa kepada perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dicapai baru-baru ini.
“Tuan Presiden, anda amat prihatin dengan keamanan dunia dan amat teruja untuk meleraikan pelbagai isu panas serantau. Saya menghargai sumbangan besar anda terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza,” katanya.
Pemimpin China itu juga sempat merujuk Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai oleh Kemboja dan Thailand di sini.
China juga, kata beliau, turut membantu menerusi caranya sendiri bagi membolehkan kedua-dua negara itu meleraikan pertikaian sempadan, malah Beijing menggalakkan rundingan damai untuk menyelesaikan isu berbangkit.
“Dunia hari ini diasak dengan pelbagai masalah sukar. China dan AS boleh bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai negara kuasa besar dan bekerjasama mencapai perkara hebat dan kukuh demi kebaikan kedua-dua negara serta dunia,” katanya.
Dua pemimpin itu kini berada di Korea Selatan bagi menghadiri Minggu Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berlangsung di Gyeongju, sebuah bandar pesisir pantai di Korea Selatan.
Malaysia adalah antara anggota pengasas APEC yang merupakan platform forum antara kerajaan merangkumi 21 negara.
Secara kolektif, ekonomi konomi APEC menyumbang kira-kira 61 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global serta 46 peratus perdagangan dunia, sekali gus membuktikan kepentingan peranan dalam memacu pertumbuhan dan penyepaduan ekonomi antarabangsa.
Menerusi jumlah populasi melebihi tiga bilion, rantau APEC terus menjadi penggerak utama pembangunan global dan dijangka berkembang sebanyak 2.9 peratus pada 2026 yang memaparkan aspek ketahanan dan potensi ekonomi jangka panjang perkumpulan itu.
-- BERNAMA
