COLOMBO, 30 Okt (Bernama-CMG) -- Sidang pleno keempat Jawatankuasa Pusat penggal ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang berlangsung di Beijing baru-baru ini merupakan penanda aras penting bagi China pada era baharu, dengan menggariskan hala tuju negara untuk terus meningkatkan tahap keterbukaan demi mewujudkan situasi kerjasama saling menguntungkan.
Presiden Kumpulan Media China (CMG) Shen Haixiong berkata demikian dalam ucapan maya pada Dialog Global bertemakan “Inovasi, Keterbukaan, Kongsi Pembangunan Bersama” anjuran CMG di sini pada Selasa.
Shen yang juga Naib Ketua Pengarah Jabatan Publisiti PKC berkata, China pada zaman baharu konsisten dalam melaksanakan dasar 'pintu terbuka', dan terus berkongsi hasil pembangunan dan inovasi dengan pelbagai negara meskipun berdepan perubahan landskap global yang kompleks.
Pendekatan ini, diyakini dapat membawa keyakinan dan kekuatan baharu kepada dunia yang penuh ketidaktentuan, kata beliau.
Tegasnya, CMG akan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk membina platform antarabangsa melalui rundingan bersama, mengamalkan empat Inisiatif Global dan berkongsi "pelan China" untuk tadbir urus di pentas dunia.
Menteri Buruh Sri Lanka, Anil Jayantha Fernando berkata dialog kali ini amat bermakna dalam konteks dunia masa kini.
Sri Lanka menyokong pendirian China mengenai kerjasama dan keterbukaan, bersedia memperkukuh perpaduan, kolaborasi dan persahabatan dengan China demi masa depan lebih cerah.
Lebih seratus perwakilan yang terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli akademik, tokoh perdagangan, pelajar dan pengamal media dari kedua-dua negara turut hadir pada sidang pleno itu.
-- BERNAMA-CMG
