 
      BUKIT MERTAJAM, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima sembilan aduan berkaitan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak program itu dilaksanakan pada 30 Sept lepas.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata daripada jumlah itu, hanya tiga aduan di bawah bidang kuasa kementerian iaitu berkaitan dakwaan kekurangan jumlah sukatan isian petrol di pam.
“Sebagai contoh, ada individu mendakwa mengisi minyak kenderaan sebanyak RM30 tetapi merasakan jumlah liter yang diterima sepatutnya lebih.
“Kita telah pun menghantar pegawai untuk buat semakan dan mendapati pam dispenser di stesen minyak yang diadu itu masih dalam tempoh tentusah manakala ujian sukatan menunjukkan kuantiti petrol yang dijual adalah tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pelupusan Ekshibit Mega di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang Bukit Minyak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata kebanyakan aduan itu berpunca daripada tanggapan pengguna semata-mata kerana mereka melihat bacaan pada meter dan tidak meneliti paparan sebenar di pam minyak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan KPDN akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pelaksanaan program BUDI95 berjalan lancar serta melindungi hak pengguna di negeri ini.
Bermula 30 Sept, BUDI95 diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang layak dengan sistem pengesahan MyKad dan menerusi program itu, semua rakyat Malaysia yang layak membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
-- BERNAMA
