AM

GUNA KHIDMAT MALIM BERTAULIAH, MAKLUM PIHAK BERKUASA SEBELUM MENDAKI GUNUNG

30/10/2025 05:11 PM

IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Orang ramai yang merancang melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan pergunungan di Perak dinasihatkan mendapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) atau jurupandu bertauliah bagi memastikan keselamatan diri serta kelancaran operasi jika berlaku sebarang kecemasan.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata tindakan mendapatkan khidmat individu atau agensi yang tidak diiktiraf boleh mengundang risiko terutama apabila berlaku kecemasan di kawasan terpencil.

“Hutan ini bukan tempat yang mudah untuk diterokai. Ia memerlukan pengetahuan, pengalaman dan latihan yang mencukupi. Sebab itu kami tekankan supaya MGP atau penganjur aktiviti ini mempunyai tauliah yang sah.

“Para pendaki juga perlu tenaga yang mencukupi dan tahu apa diet atau makanan yang sesuai untuk dibawa sewaktu pendakian dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Latihan Pelatihan Lapangan (FTX) Pengurusan Bencana (Op Cerun) di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini hari ini.

Beliau berkata mana-mana kumpulan atau individu yang ingin melakukan aktiviti pendakian perlu memaklumkan kepada balai polis terdekat dan mendapatkan permit rasmi daripada Jabatan Perhutanan Negeri sebelum memasuki kawasan pendakian.

Noor Hisam berkata kegagalan memohon permit atau tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa boleh menyebabkan kelewatan operasi menyelamat sekiranya berlaku insiden tidak diingini seperti kes kematian pendaki di Gunung Liang baru-baru ini.

“Permit itu bukan bertujuan menyusahkan tetapi untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa ada aktiviti manusia di kawasan berkenaan. Jadi, jika berlaku sebarang kejadian, pasukan penyelamat dapat digerakkan dengan segera.

“Kami tidak tahu berapa orang yang masuk, dari mana mereka mula mendaki dan di mana mereka sepatutnya keluar. Sebab itu penting untuk setiap aktiviti didaftarkan dan dilaporkan supaya koordinasi menyelamat lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Pada 16 Okt lepas, seorang pendaki Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat selepas melakukan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Okt bersama 10 rakannya.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak pada 22 Okt dalam satu notis memaklumkan kawasan pendakian Gunung Liang dalam daerah Perak Selatan ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga suatu tarikh dimaklumkan kelak.

Arahan penutupan itu bagaimanapun dikecualikan bagi penganjuran program jabatan seperti Program Konservasi Trek Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal seperti mana yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan