EKONOMI

MALAYSIA GESA EKONOMI APEC TERJEMAH VISI PUTRAJAYA 2040 KEPADA TINDAKAN PRAKTIKAL

30/10/2025 09:35 PM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 30 Okt (Bernama) -- Malaysia menggesa ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menterjemahkan Visi Putrajaya 2040 kepada bentuk kerjasama yang praktikal dan bersasar, khususnya dalam menangani jurang serta mempercepat transformasi digital.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata APEC yang dianggotai 21 negara di lingakaran Pasifik perlu mempercepat pelaksanaan pendigitalan hijau melalui pembangunan infrastruktur digital cekap tenaga sejajar aspirasi sifar bersih karbon dan ketahanan terhadap perubahan iklim.

“Kedua, kurangkan peraturan yang bercanggah dan kos pematuhan yang tinggi. APEC wajar membangunkan garis panduan asas berkaitan kecerdasan buatan (AI), termasuk senarai semak ketelusan serta alat penilaian kendiri bagi menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab dan beretika.

“Ketiga, kita mesti membina keyakinan terhadap tadbir urus data rentas sempadan melalui peraturan yang jelas, pembangunan keupayaan dan rangka kerja berasaskan kepercayaan,” katanya pada sesi intervensi Malaysia  ketika Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pada 2020, APEC melancarkan Visi Putrajaya 2040, pelan jangka panjang baharu yang berhasrat membentuk komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040.

Sehubungan itu, Mohamad berkata Malaysia bersedia menyumbang melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), platform yang sudah melatih lebih 38,000 peserta dari 144 negara.

“Di bawah program ini, Malaysia boleh menganjurkan bengkel dan pertukaran dasar yang tertumpu kepada tadbir urus privasi, kesiapsiagaan perlindungan data dan etika AI yang bertanggungjawab,” katanya

Mohamad berkata usaha berkenaan akan memperkukuh keupayaan rantau Asia Pasifik dalam membina ekosistem digital yang diyakini dan berkesan.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam menghadapi peralihan teknologi yang kompleks, kerjasama digital perlu menjadi jambatan penghubung antara ekonomi anggota, dan Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan semua ekonomi APEC.

Malaysia antara 12 negara pengasas APEC bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

APEC yang mempunyai hampir tiga bilion penduduk mewakili kira-kira 62 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia serta 48 peratus perdagangan global pada 2021.

    -- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan