KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan kebimbangan terhadap krisis kemanusian di Sudan, khususnya di Al-Fashir, ibu kota Darfur Utara yang kini dilaporkan menjadi lokasi siri pembunuhan beramai-ramai oleh Rapid Support Forces (RSF).
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata laporan daripada Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dan Human Rights Watch menunjukkan lebih 15,000 orang awam terbunuh di Darfur sejak konflik kembali memuncak pada 2023, manakala lebih 10 juta rakyat Sudan menjadi pelarian dalam negara dan sempadan luar.
Beliau berkata jenayah yang berlaku di Darfur jelas memenuhi definisi genosid di bawah Konvensyen Genosid 1948 khususnya terhadap komuniti Masalit dan kelompok Afrika Darfur yang disasarkan atas identiti kaum mereka.
“ABIM menuntut campur tangan segera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghentikan operasi RSF serta melindungi keselamatan orang awam di Al-Fashir dan seluruh Darfur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menuntut supaya sekatan menyeluruh dikenakan terhadap mana-mana negara, entiti atau individu yang menyalurkan dana, senjata dan sokongan ketenteraan kepada RSF.
ABIM turut menuntut agar agensi kemanusiaan diberi akses tanpa sekatan ke kawasan berisiko kebuluran serta mendesak siasatan bebas antarabangsa di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi mendakwa semua pelaku jenayah perang, kemanusiaan dan genosid.
Ahmad Fahmi berkata Malaysia melalui Wisma Putra perlu memainkan peranan aktif menyokong resolusi kecemasan di PBB serta membawa isu tersebut ke pentas ASEAN dan dunia Islam selaras komitmen Malaysia MADANI.
“Kerajaan Sudan juga mempunyai tanggunjawab undang-undang untuk menghentikan serangan terhadap rakyatnya. Pembunuhan atas dasar identiti kaum tidak boleh dibiarkan berterusan atau dinormalisasikan dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Dalam usaha tersebut, beliau berkata ABIM melalui agensi kemanusiaannya Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah melancarkan kempen bantuan untuk Sudan melalui platform pedulisudan.com bagi menyokong misi menyelamat, rawatan dan pemulihan mangsa.
Ahmad Fahmi turut mengingatkan bahawa kegagalan dunia menangani genosid di Rwanda dan Srebrenica serta penyeksaan berpanjangan di Gaza, tidak boleh dibiarkan berulang di Darfur.
--BERNAMA
