JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM, POLIS SINGAPURA GIAT BURU SINDIKET JENAYAH SIBER RM130 JUTA BEROPERASI DI KEMBOJA

01/11/2025 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang bekerjasama dengan Pasukan Polis Singapura (SPF), bagi mengesan penjenayah yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah siber berjumlah RM130 juta berpangkalan di Kemboja.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata pihaknya menerima maklumat daripada SPF, berhubung penglibatan 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia dalam kegiatan itu.

“Sehubungan itu, PDRM telah dan sedang melaksanakan tindakan untuk mengesan serta menahan semua individu yang disyaki terlibat.

“Kesemua tujuh suspek warga Malaysia telah disenaraikan ke dalam senarai orang yang dikehendaki, bagi tujuan tangkapan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PDRM kekal komited memperhebat usaha pengesanan dengan menjalin kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara.

“PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa bagi membanteras jenayah rentas sempadan, yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa SPF mendedahkan penglibatan 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia dalam kegiatan jenayah siber berjumlah RM130 juta, yang berpangkalan di Kemboja.

Menurut SPF, kumpulan jenayah terancang itu menyamar sebagai pegawai kerajaan dan dipercayai bertanggungjawab terhadap lebih 400 kes penipuan dengan jumlah kerugian melebihi S$41 juta.

Operasi penguatkuasaan bersama Polis Kebangsaan Kemboja (CNP) pada 9 Sept, turut membawa kepada penahanan awal 15 suspek termasuk dua rakyat Malaysia di Singapura, sebelum pihak berkuasa mengenal pasti baki 34 suspek yang kini berada di luar negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan