AM

TRANSFORMASI DIGITAL LCMS, JELAJAH WIRA LTAT TINGKATKAN NILAI PERKHIDMATAN PENCARUM

01/11/2025 11:30 AM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang melaksanakan transformasi digital menyeluruh bagi memperkukuh kecekapan operasi dan meningkatkan pengalaman pencarum menerusi pelancaran sistem baharu yang dikenali sebagai LTAT Contribution Management System (LCMS).

Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata sistem bersepadu yang mula dilaksanakan pada Julai lepas itu mengurus keseluruhan kitaran caruman pencarum bermula daripada pendaftaran, deposit, pengiraan dividen sehingga pengeluaran secara automatik dengan semakan dokumen berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta kemas kini masa nyata.

Beliau berkata LCMS merupakan langkah bersejarah yang bukan sekadar sebuah sistem, tetapi platform baharu pengurusan caruman yang automatik, cekap dan telus.

"Dengan analitik pintar, integrasi bersama Kementerian Pertahanan, Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT), Affin, MyDigitalID serta keselamatan tahap tinggi, LCMS memacu LTAT ke arah operasi digital sepenuhnya dan ini membuktikan LTAT bukan hanya berubah untuk hari ini tetapi bersedia untuk masa depan digital pencarumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Ashraf berkata LTAT kini turut bergerak ke arah model pelaburan bertanggungjawab (Responsible GLIC) menumpukan bukan sahaja kepada keuntungan kewangan tetapi nilai sosial dan kesejahteraan komuniti pertahanan. 

Melalui program celik kewangan yang telah menjangkau lebih 40,000 anggota ATM sejak 2023, Mohamad Ashraf berkata LTAT terus memastikan pencarum memahami caruman mereka dan memanfaatkan kelebihan yang disediakan.

"LTAT bukan hanya dana simpanan tetapi nadi sokongan sosial kepada wira negara, kami mahu setiap pencarum tahu bahawa di sebalik setiap ringgit yang mereka sumbangkan, ada institusi yang berdiri teguh menjaga masa depan mereka,” katanya.

Selain itu, LTAT telah menganjurkan Jelajah Wira LTAT 2025: Edisi Utara dari 11 hingga 25 Oktober lepas yang melibatkan negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak, berjaya menghimpunkan lebih 6,500 anggota dan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada 35 kem tentera pelbagai perkhidmatan, menjadikan ia antara siri libat urus terbesar LTAT setakat ini.

Edisi yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah itu, turut menyaksikan pelancaran inisiatif penting, iaitu Affin Perkasa Financial Solution, Program Royale Warisan Loyalty, Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT, Sekolah Angkat MADANI dan Kem Santuni MADANI.

Mohamed Khaled dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada LTAT atas keprihatinan yang berterusan dalam memastikan kebajikan warga ATM terus menjadi keutamaan, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan GEAR-UP "Raise the Floor" yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif dan kesejahteraan rakyat.

Edisi utara Jelajah Wira LTAT menampilkan pelbagai aktiviti dan sesi interaktif seperti sesi celik kewangan, forum inspirasi veteran ATM, reruai perkhidmatan, dan pameran rakan kongsi strategik, menjadikan ia medan pembelajaran, bimbingan dan inspirasi buat warga ATM serta keluarga mereka.

Mohammad Ashraf berkata kesemua inisiatif yang dilancarkan memperlihatkan kesepaduan dan sinergi dalam Syarikat Kumpulan LTAT yang bergerak seiring dengan visi memperkukuh ekosistem kesejahteraan sosial warga ATM daripada aspek kewangan, pendidikan, kesihatan dan komuniti.

“LTAT merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan dan barisan kepimpinan ATM yang sentiasa menyokong pelaksanaan Jelajah Wira LTAT,” katanya.

Selain itu, Mohamad Ashraf berkata Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT yang buat julung-julung kalinya dianjurkan itu turut merekodkan kejayaan apabila berjaya meningkatkan purata pendapatan peserta sebanyak 216 peratus dalam kalangan 29 usahawan veteran ATM. 

Program berkenaan kini diteruskan ke fasa kedua melibatkan lebih 35 peserta baharu.

“Program ini bukan sekadar latihan keusahawanan, tetapi sebuah perjalanan perubahan hidup, peserta dilatih, dibimbing dan dimantapkan dengan semangat baharu untuk berdikari selepas bersara.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan