AM

KERJASAMA HALAL NEW ZEALAND–MALAYSIA BUKTI PERKEMBANGAN EKONOMI BAHARU - PRESIDEN NZMBA

01/11/2025 01:36 PM

KUALA LUMPUR, Nov 1 (Bernama) --  Hasrat New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN yang akan ditubuhkan tidak lama lagi menandakan perkembangan penting ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Malaysia, kata Presiden Persatuan Perniagaan Malaysia-New Zealand (NZMBA) Dave Ananth.

Beliau berkata kepimpinan Malaysia di peringkat global dalam industri halal serta reputasi New Zealand sebagai pengeluar diyakini, membentuk satu perkongsian yang memasuki fasa transformasi susulan lawatan Perdana Menteri Christopher Luxon ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Okt lepas.

“Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa kerana tadbir urus halalnya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan New Zealand mengiktiraf kredibiliti itu.

“Kerjasama ini akan membolehkan pengeksport kami menembusi pasaran umat Islam yang lebih luas dengan keyakinan, di samping merancakkan peluang pelaburan, perdagangan dan pelancongan halal di New Zealand,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Ananth berkata halal merupakan antara sektor global yang berkembang pesat, merangkumi bukan sahaja makanan tetapi juga farmaseutikal, kosmetik, kewangan dan pelancongan, dengan Malaysia terus menetapkan penanda aras di peringkat antarabangsa.

Beliau menyambut baik jaminan berterusan Malaysia terhadap integriti halal, sambil memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, bahawa semua produk ayam dihasilkan New Zealand telah diperakui halal dengan sokongan penuh kerajaan negara itu.

“Menerusi Perjanjian Pelaksanaan Halal (HIA) yang dipertingkatkan antara Malaysia dan New Zealand, kedua-dua negara kini bergerak ke arah penyelarasan pensijilan dan pengukuhan piawaian rantaian bekalan bagi memenuhi keperluan pasaran pengguna halal ASEAN yang hampir mencecah 700 juta orang,” katanya.

Ananth turut mencadangkan supaya JAKIM memperluas operasinya ke New Zealand bagi mengukuhkan kepercayaan dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

“Jenama JAKIM dianggap penanda aras emas di peringkat global. Kehadiran JAKIM di New Zealand akan meningkatkan keyakinan negara pengimport halal serta membuka peluang besar dalam eksport makanan, logistik halal dan pelancongan mesra Muslim,” katanya.

Beliau berkata sektor halal akan menjadi tonggak utama dalam Perkongsian Strategik Komprehensif yang baharu dimeterai antara New Zealand dan ASEAN, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke rantau Asia Tenggara yang lebih luas.

Ananth berkata halal pada masa kini mencerminkan nilai sejagat seperti kepercayaan, kesematan dan kualiti yang selaras dengan identiti jenama New Zealand sebagai pengeluar premium di peringkat global.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengalu-alukan minat New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN yang bakal ditubuhkan, sambil menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam industri halal di peringkat global.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan