JOHOR BAHRU, 1 Nov (Bernama) -- Pengamal media di seluruh negara disaran memberikan sokongan penuh terhadap Majlis Media Malaysia (MMM) yang bakal mengadakan Mesyuarat Agung Pertamanya (AGM) pada 7 Nov ini, sebagai langkah penting memperkukuh profesionalisme dan integriti kewartawanan negara.
Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) Mohamad Fauzi Ishak berkata MMM ialah platform penting untuk memperkasakan landskap media negara dan menjadi rujukan dalam soal etika serta pembangunan kompetensi pengamal media.
“Kehadiran pengamal media ke AGM berkenaan adalah penting dalam menyumbang kepada proses pemilihan ahli Lembaga Majlis yang bakal mengemudi dan menentukan hala tuju MMM kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada AGM Kelab Media Johor (KMJ) 2025 di sini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin serta dihadiri 85 ahli kelab.
Antara agenda penting AGM MMM itu, termasuk pemilihan ahli Lembaga Majlis di bawah Seksyen 8(4) Akta Majlis Media Malaysia, penetapan tatacara AGM seterusnya, serta penentuan fi keahlian dan polisi operasi standard (SOP) majlis dan membincangkan belanjawan 2026.
Dalam pada itu, Mohamad Fauzi yang juga Presiden KMJ berkata dalam era digital, peranan media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi menjadi penapis maklumat, pembentuk persepsi dan penjaga integriti awam.
Sehubungan dengan itu, beliau mahu pengamal media berpegang pada prinsip profesionalisme, integriti selain kolaborasi bersama kerajaan, jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat.
Sementara itu, Aznan berkata pengamal media menjadi nadi dan tulang belakang kepada penyebaran maklumat yang sahih, pantas dan beretika.
“Tanpa dedikasi mereka, kejayaan pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan negeri tidak akan sampai sepenuhnya kepada pengetahuan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 14 Ahli Jawatankuasa baharu KMJ dipilih bagi sesi 2025/2026 yang turut menyaksikan Mohamad Fauzi mengekalkan jawatan sebagai presiden kelab itu.
-- BERNAMA
