AM

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI BERI MANFAAT 1,300 PELAJAR SMK SERI NILAM

02/11/2025 06:50 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Nov (Bernama) -- Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) hasil inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memberi manfaat kepada 1,300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, di sini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata melalui inisiatif itu, sebanyak lima skop projek berjaya dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

Beliau berkata pihaknya diberi kepercayaan selaku agensi pelaksana oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk menjalankan program pembangunan dan kemajuan pelajar serta sekolah berkenaan bagi tempoh hingga Disember 2025.

"Lima skop yang kita beri fokus, pertamanya ialah program pendidikan pelajar sekolah yang menumpukan kepada peningkatan prestasi akademik serta motivasi, khususnya bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Skop kedua pula, latihan dan pembangunan guru yang bertujuan memperkukuh jati diri serta meningkatkan komitmen dalam kalangan guru," katanya pada Majlis Peluncuran SAM UMT di SMK Seri Nilam, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Belanjawan Negara yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMT Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman.

Selain itu, Mohd Zamri berkata perkara yang diberi tumpuan ialah menaik taraf kemudahan pembelajaran bagi pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk latihan kemahiran melalui projek fertigasi.

Penyelenggaraan fasiliti sekolah melibatkan penambahbaikan sistem pendawaian, pemasangan pendingin hawa dan pembelian Smart TV turut dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

"Aktiviti keceriaan juga ditingkatkan dengan menambah baik kemudahan visual seperti papan tanda sekolah bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria serta berinformatif. Alhamdulillah semua program berjaya direalisasi dengan pencapaian 100 peratus bagi prestasi pelaksanaan dan perbelanjaan," katanya.

Selain lima skop berkenaan, UMT turut melaksanakan beberapa aktiviti sokongan, iaitu Projek Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) melibatkan 27 pelajar aliran sains.

Pensyarah juga diminta untuk turun padang bagi menyampaikan program motivasi, disamping memperkenal pelbagai kursus menarik yang ditawarkan. 

"UMT juga berkongsi kemudahan kampus seperti bas dan auditorium bagi menyokong penganjuran program melibatkan pelajar dan guru SMK Seri Nilam. Sebagai tambahan UMT turut menyumbang aset terpakai yang masih dalam keadaan baik bagi kegunaan sekolah.

"Secara keseluruhan, projek yang dilaksanakan bersama SMK Seri Nilai menerima sokongan berbentuk kewangan dan sumbangan 'in-kind' bernilai melebihi RM100,000.

 -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan