KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu beralih daripada budaya "kecemerlangan perancangan" kepada "kecemerlangan penyampaian" untuk memastikan dasar nasional diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan impak sebenar kepada rakyat, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata walaupun negara tidak pernah kekurangan visi dan pelan tindakan strategik yang dirangka dengan baik, kelemahan sering berlaku pada tahap pelaksanaan yang berkesan, satu cabaran yang perlu ditangani untuk memastikan kemajuan negara.
"Saya diberitahu bahawa kita antara negara terbaik dalam menghasilkan pelan tindakan terbaik. Dan, sejujurnya, banyak dokumen yang penuh aspirasi ini dirangka dengan teliti oleh pakar dan dijadikan penanda aras pada peringkat global.
"Namun, sekiranya kita jujur terhadap diri sendiri, kita perlu bertanya, walaupun kita merancang dengan baik, mengapa kita sering gagal apabila sampai kepada pelaksanaan dan hasil? Banyak dasar yang menggalakkan terhenti di pertengahan jalan antara kelulusan Kabinet dengan kesannya kepada masyarakat," katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan Antarabangsa Polisi Awam dan Kepimpinan (ICPPL) 2025 di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Bertemakan "Trend Mega dan Hala Tuju Masa Depan dalam Polisi Awam, Kepimpinan dan Pembangunan Mampan", persidangan tiga hari hingga Rabu itu menghimpunkan pembuat dasar, cendekiawan, pemimpin industri, dan pengamal dasar awam untuk membincangkan cabaran serta peluang dalam membentuk tadbir urus, kepimpinan dan kemampanan di dunia yang sedang berkembang pesat.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaya Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Associates Datuk Seri Idris Jala.
Bagi mengatasi cabaran ini, Zambry menyeru supaya berlaku perubahan budaya asas ke arah "pemikiran penyampaian", dengan tumpuan bukan hanya pada pelancaran inisiatif, tetapi juga mengurusnya sehingga selesai dengan akauntabiliti yang jelas.
Antara lain, beliau menegaskan keperluan untuk beralih daripada pengumuman dasar kepada pengurusan projek yang berdisiplin dengan setiap dasar utama mesti mempunyai pasukan khusus, hasil yang boleh diukur, pencapaian penting, rutin pelaporan dan mekanisme pembelajaran untuk memastikan inisiatif diurus secara aktif, bukan sekadar dilancarkan.
Zambry turut menekankan kepentingan meninggalkan budaya kerja secara silo atau sendirian demi akauntabiliti bersama, sambil menyatakan bahawa dasar awam ialah usaha kolektif yang memerlukan kerjasama antara agensi.
Sementara itu, Idris Jala dalam ucaptamanya membincangkan implikasi dasar awam terhadap trend global semasa seperti populasi menua, negara yang bergelut dengan krisis hutang, dan peraturan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Berhubung soalan sama ada AI perlu terus dibangunkan semasa sesi soal jawab, beliau berkata orang ramai perlu dididik tentang cara menggunakan teknologi berkenaan secara bertanggungjawab dan mengelakkan penyalahgunaan.
-- BERNAMA
