AM

UKM-GSB CIPTA SEJARAH, JULUNG KALI TERSENARAI DALAM QS GLOBAL MBA RANKINGS

03/11/2025 08:50 PM

BANGI, 3 Nov (Bernama) -- Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam QS Global MBA Rankings 2026 dengan mencapai kedudukan ke-151 hingga 200 terbaik dunia.

Pencapaian itu sekali gus mengangkat UKM-GSB sebagai pusat siswazah perniagaan ke-23 terbaik di Asia dan kedua terbaik di Malaysia.

Selain itu, UKM-GSB juga telah berjaya memperoleh pelanjutan enam tahun bagi akreditasi penuh antarabangsa Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) berkuat kuasa dari 2025 hingga 2031.

UKM-GSB juga telah diiktiraf menerima akreditasi antarabangsa daripada The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow, a 21st century organization (ABEST21) dan tahun ini, UKM-GSB melakar sejarah penting apabila dinobatkan Anugerah Kaizen Antarabangsa 2024 oleh ABEST21.

Kecemerlangan akademik UKM-GSB turut diserlahkan menerusi pengiktirafan dua sarjananya, Prof Dr Mohd Helmi Ali dan Prof Madya Dr Abdullah Mamun, dalam senarai dua peratus saintis terbaik dunia oleh Elsevier 2025.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, Naib Canselor UKM Prof Dr Sufian Jusoh berkata kejayaan itu mencerminkan strategi dan perancangan jangka panjang UKM-GSB dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan serta jaringan industri.

“Semenjak ditubuhkan pada 1 Okt 2007, UKM-GSB telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sehingga diiktiraf sebagai sebuah pusat pengajian siswazah perniagaan yang terkemuka di negara kita,” katanya berucap pada majlis meraikan kejayaan penarafan QS Global MBA Ranking 2026 di sini hari ini.

Sufian berkata penarafan itu bukan sahaja mencerminkan standard antarabangsa, tetapi juga memperkukuh keyakinan terhadap kualiti pendidikan tinggi negara.

“Dengan penarafan program MBA di QS Global MBA Rankings bagi 2026, UKM-GSB sekali lagi menunjukkan pola perancangan yang strategik dalam pemerkasaan kualiti pengajaran dan seterusnya jenama UKM di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata penarafan dan akreditasi bukan sekadar lambang status, sebaliknya cerminan kepada kualiti pendidikan, tadbir urus yang cekap dan reputasi institusi.

“Ia juga petunjuk utama kepada golongan profesional, pelajar, ibu bapa dan majikan tentang piawai kecemerlangan yang dijunjung, sekali gus menjamin kelestarian dan kualiti pendidikan yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Dekan UKM-GSB Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul berkata kejayaan tersenarai dalam QS Global MBA Rankings adalah hasil strategi jangka panjang universiti dalam memperkukuh kualiti dan jenama globalnya.

Beliau berkata UKM-GSB juga merupakan ahli kepada European Foundation for Management Development (EFMD) dan Association of Asia Pacific Business Schools (AAPBS), selain menjalin kerjasama dengan Harvard Business School melalui adaptasi kursus Microeconomics for Competitiveness.

“Hal ini menjadikan UKM satu-satunya universiti di Malaysia yang dibenarkan menggunakan kurikulum daripada Harvard Business School,” katanya sambil menambah universiti itu turut memperkukuh bidang penyelidikan, pembangunan dan jaringan industri sebagai sebahagian strategi penjenamaan organisasi.

Zafir Khan berkata antara tumpuan masa depan UKM-GSB ialah memperkasakan pengantarabangsaan, memperkukuh jaringan kerjasama akademik serta meneroka bidang pengkhususan baharu seperti pengurusan penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan