AM

JAS PERLUKAN 3,000 PEGAWAI TAMBAHAN PERKUKUH PEMANTAUAN, PENGUATKUASAAN - KP

03/11/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) memerlukan kira-kira 3,000 pegawai tambahan bagi memperkukuh pelaksanaan tugas pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Beliau berkata cadangan penambahan anggota itu telah dikemukakan kepada kerajaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai sebahagian pelan pengukuhan organisasi bagi memastikan aspek kawalan pencemaran dan pematuhan undang-undang alam sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Cadangan ini telah dimasukkan dalam pelan pengukuhan jabatan dan kini sedang ditambah baik sebelum dikemukakan semula kepada pihak kerajaan dan kita harap permohonan ini dapat dipenuhi supaya pelaksanaan tugas pemantauan dan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata demikian pada Sesi Dialog Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama pengamal media di sini hari ini.

Beliau berkata JAS ketika ini mempunyai 1,111 pegawai teknikal dan penguat kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab memantau lebih 64,000 punca pencemaran tetap di seluruh negara, termasuk kilang, loji kumbahan serta projek pembangunan yang tertakluk kepada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Wan Abdul Latiff berkata angka pencemaran itu tidak termasuk punca pencemaran yang berlaku daripada lebih 33 juta kenderaan bermotor dan 3,000 stesen minyak yang juga berada dalam bidang pemantauan JAS, selain lebih 10,000 aduan pencemaran yang diterima setiap tahun.

Berbekalkan jumlah anggota sedia ada, JAS hanya mampu menjalankan kira-kira 20,000 pemeriksaan setahun berbanding keperluan sebenar terhadap 64,000 premis, menyebabkan jabatan itu perlu mengutamakan pemeriksaan terhadap premis berisiko tinggi.

“Antara keutamaan ialah kilang yang pernah dikenakan tindakan, mempunyai rekod aduan, terletak di hulu sumber air, menghasilkan buangan toksik dan berbahaya atau mencatat beban pencemaran tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai nisbah penguat kuasa kepada premis industri, beliau berkata setiap pasukan penguat kuasa JAS ditetapkan menjalankan kira-kira 16 pemeriksaan sebulan mengikut norma kerja semasa.

“Daripada pengiraan ini juga, kita mendapati keperluan tambahan kira-kira 3,000 pegawai bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JAS turut memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pemprosesan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) haram melalui operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata untuk tahun ini sahaja, dua operasi besar di bawah Ops Hazard telah dijalankan, iaitu pada Februari dan Julai dengan fokus kepada premis haram yang memproses e-waste yang diimport secara tidak sah melalui pelabuhan dengan menggunakan deklarasi palsu bagi mengelak sekatan.

“Apabila barangan ini disahkan sebagai e-waste, kita akan keluarkan notis untuk dihantar balik ke negara asal selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Basel Convention yang mengawal pergerakan merentas sempadan buangan toksik dan berbahaya. 

“Kebanyakan e-waste haram ini datang daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah dan kita bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan untuk menghantar semula buangan tersebut,” katanya.

Wan Abdul Latiff  berkata hasil dua Ops Hazard itu, sebanyak 47 premis haram telah diambil tindakan manakala pelbagai bahan e-waste disita untuk dilucut hak dan dilelong kepada premis berlesen.

Selain itu, katanya operasi terbaharu dinamakan Ops Dermaga turut dijalankan pada September lepas bersama PDRM bagi membanteras penyeludupan e-waste di pintu masuk utama negara.

“E-waste ini masuk secara haram, diproses di kilang haram dan kebanyakannya pula menggunakan tenaga kerja pendatang tanpa izin, jadi kita gandakan kerjasama dengan agensi lain supaya kegiatan ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan