PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Festival IDEA Putrajaya 2025 yang akan membuka tirainya esok menjadi platform menghimpunkan cetusan pemikiran dan inovasi rakyat Malaysia ke arah melakar masa depan negara berteraskan semangat Malaysia MADANI.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata festival anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memasuki edisi kedua itu bukan sekadar acara akademik, sebaliknya satu gerakan nasional untuk menjadikan budaya berfikir dan berkongsi idea sebagai identiti rakyat Malaysia.
“Tujuan kita mengadakan Festival of Idea (FOI) ini adalah bagi mengumpulkan semua idea rakyat Malaysia, sama ada daripada cendekiawan, penyelidik, mahupun rakyat biasa.
“Kita mahu menjadikan budaya berfikir dan berkongsi idea sebagai satu amalan masyarakat, tanpa mengira latar belakang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir penganjuran festival itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Beliau berkata festival berkenaan turut memperlihatkan hasrat Malaysia untuk menjadi pusat rujukan serantau bagi pertukaran idea serta inovasi merentas pelbagai bidang, termasuk sains sosial, teknologi, seni, budaya dan muzik.
Zambry berkata KPT mahu mengangkat Malaysia sebagai City of Ideas iaitu satu platform untuk orang ramai datang bertukar pandangan, berkongsi kepakaran dan meraikan kreativiti.
“Banyak negara maju mempunyai Festival of Ideas mereka sendiri dan kini Malaysia juga akan berdiri sebaris,” katanya.
Beliau berkata FOI 2025 yang akan hingga 8 Nov dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan dua juta peserta keseluruhan termasuk 1.5 juta secara maya di seluruh dunia.
Majlis pelancaran rasmi festival dijadual disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 6 Nov, manakala majlis penutup akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ucaptama pembukaan akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diikuti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada hari kedua,” katanya.
Zambry berkata festival itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Indonesia dan Setiausaha Pendidikan Tinggi Filipina selain wakil dari ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Selatan-Selatan dan Afrika menjadikan penganjuran tahun ini berskala antarabangsa.
Antara program utama yang dijadualkan ialah Sidang Idea Malaysia, My Idea Connects, Global Higher Education Summit & Showcase, Advanced TVET and Entrepreneurship, FOI Run Challenge dan Sounds of Malaysia.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran istimewa ‘1001 Inventions: The Enduring Legacies of Muslim Civilization’, yang mengetengahkan sumbangan dunia Islam dan tamadun lain terhadap pembangunan sains dan teknologi dunia.
Festival itu turut menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan bergaji premium menerusi Karnival Kerjaya dan Internship Market Week yang berlangsung sepanjang empat hari acara.
“Tema festival tahun ini, Melakar Masa Depan dan Merealisasikan Idea, menggambarkan matlamat kita untuk membina masa depan dengan melaksanakan idea-idea hari ini,” katanya.
Zambry berkata sebelum penganjuran di Putrajaya, KPT telah mengadakan siri Festival IDEA peringkat negeri di seluruh negara, dengan sokongan kerajaan negeri dan penyertaan masyarakat tempatan.
“Kali ini kita tidak hanya berhenti di Putrajaya. Festival ini telah menjelajah seluruh negara dan sambutannya amat memberangsangkan. Hal ini membuktikan rakyat Malaysia bersedia menjadi masyarakat berfikir dan berinovasi,” katanya.
-- BERNAMA
