AM

PERKHIDMATAN KTM KOMUTER LALUAN BATU TIGA–SUBANG JAYA TERGENDALA

04/11/2025 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Operasi tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan perkhidmatan KTM Komuter di laluan Batu Tiga–Subang Jaya mengalami gangguan pagi tadi berikutan alat talian atas terputus.

Menurut kenyataan KTMB, insiden yang berlaku pada kira-kira 8.30 pagi itu menyebabkan laluan di antara Stesen Subang Jaya dengan Batu Tiga tidak dapat digunakan buat sementara waktu.

Akibat gangguan itu, perkhidmatan tren komuter mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal dan ditamatkan lebih awal kerana operasi tren hanya menggunakan satu landasan.

“Oleh yang demikian, tren bagi laluan Pelabuhan Klang–Tanjung Malim ditamatkan di Stesen Shah Alam, Batu Tiga dan Padang Jawa, serta penumpang diaturkan menaiki bas perantara ke Stesen Subang Jaya untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan itu hari ini.

KTMB turut memaklumkan bahawa bagi operasi sebelah petang, tren dari KL Sentral akan tamat di Stesen Subang Jaya dan penumpang perlu menaiki bas perantara yang disediakan di antara Subang Jaya–Shah Alam, seterusnya menyambung perjalanan menggunakan tren komuter dari Stesen Shah Alam ke Pelabuhan Klang.

“Pasukan teknikal KTMB kini berada di lokasi kejadian dan kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan bagi memastikan perkhidmatan tren dapat dipulihkan serta beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan