KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- PJBumi Bhd memaklumkan bahawa syarikat itu tidak menyedari sebarang perkembangan korporat yang mungkin mencetuskan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) sahamnya, susulan pertanyaan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat kejuruteraan itu berkata ia juga tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan yang menyebabkan penurunan mendadak harga sahamnya.
“Lembaga pengarah tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan urusan kumpulan yang boleh menjelaskan aktiviti dagangan tersebut.
“Kumpulan akan membuat pengumuman sewajarnya selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities sekiranya terdapat sebarang perjanjian dimeterai,” katanya.
Terdahulu, Bursa Malaysia mengeluarkan pertanyaan UMA kepada PJBumi berikutan penurunan ketara harga saham syarikat itu.
Pada penutupan dagangan hari ini, harga saham PJBumi susut 0.75 sen atau 29.76 peratus kepada RM1.77, dengan sebanyak 683,800 unit didagangkan.
“Para pelabur dinasihatkan supaya mengambil maklum terhadap maklum balas syarikat berhubung pertanyaan UMA yang akan disiarkan di laman web Bursa Malaysia di bawah bahagian pengumuman syarikat,” kata Bursa Malaysia.
-- BERNAMA
