Daripada Erda Khursyiah Basir
MANAMA (BAHRAIN), 5 Nov (Bernama) -- Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Bahrain esok, yang juga merupakan lawatan pertama seumpamanya sejak 1974, bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara pulau di Teluk Parsi itu.
Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran berkata lawatan tiga hari itu adalah atas undangan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.
"Kesungguhan persahabatan ini mengukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara dan keakraban kedua-dua ketua negara, akan membuka lebih banyak peluang dari segi pembangunan ekonomi serta hubungan diplomatik iaitu sebelum ini Malaysia telah aktif dalam projek-projek pembangunan di Bahrain.
“Sebagai contoh, Malaysia pernah terlibat dalam pembinaan Litar Antarabangsa Bahrain dan juga bangunan utama iaitu di Bahrain Commercial Center dan juga satu daripada jambatan utama di Bahrain,” katanya dalam temu bual bersempena lawatan itu.
Beliau berkata hubungan erat antara kedua-dua negara diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan Malaysia di Bahrain, khususnya dalam sektor pembangunan, program kesihatan serta latihan pendidikan dan diplomatik pada masa depan.
“Jalinan hubungan dengan Bahrain membolehkan Malaysia membangunkan ekonomi dengan lebih kukuh dengan menggunakan Bahrain sebagai pintu kepada pasaran di Asia Barat.
“Pada masa yang sama dengan adanya Bahrain dalam kelompok Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bersama ASEAN baru-baru ini, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan juga Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Malaysia baru-baru ini, menunjukkan Bahrain memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan mengembangkan ekonomi antara ASEAN dan GCC,” katanya.
Shazryll Zahiran berkata lawatan Sultan Ibrahim pada masa sama membuka peluang dari segi peningkatan aspek pendidikan dan pelancongan antara Malaysia dan Bahrain.
“Suatu ketika dahulu jumlahnya (pelajar Bahrain di Malaysia) sekitar 300 lebih tetapi jumlah itu menurun sedikit dan sekarang kita melihat bagaimana angka ini boleh ditingkatkan dengan adanya keterhubungan baharu antara Malaysia dan Bahrain,” katanya.
Selain itu, menurutnya sambutan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong berjalan lancar selain Raja Hamad sendiri memilih program yang istimewa dan unik untuk Sultan Ibrahim.
“Unik sebab semua program itu pertama kali diberikan kepada Ketua Negara antaranya lawatan ke Tanah Perkuburan Syuhada (Martyr’s Memorial) yang merupakan tempat penting dalam sejarah Bahrain serta lawatan ke Kementerian Dalam Negeri Bahrain (Kubu Polis) di sini pada hari terakhir," katanya.
Seri Paduka Baginda bakal diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj selain Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong akan disambut oleh Raja Hamad dan Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa di Istana Sakhir dengan istiadat penuh gemilang termasuk iringan pasukan berkuda, sambutan daripada kumpulan pelajar Bahrain, persembahan tarian tradisional 'Ardah' serta 21 das tembakan meriam.
Beliau berkata pada hari kedua, Sultan Ibrahim akan berangkat ke pameran kenderaan klasik Royal Bahrain Concours yang julung kali diadakan, manakala pada sebelah malam, Seri Paduka Baginda akan diraikan dalam Majlis Santapan Negara di Istana Sakhir.
Yang di-Pertuan Agong dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 8 malam Sabtu, waktu Malaysia.
Tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Bahrain bernilai RM1.19 bilion (USD0.26 bilion).
Eksport Malaysia ke negara itu antaranya termasuk makanan diproses, produk sawit, produk elektrik dan elektronik serta peralatan pengangkutan manakala import utama dari Bahrain meliputi barangan logam, bijih dan sisa logam, produk petroleum serta besi dan keluli.
Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
-- BERNAMA
