EKONOMI

ITO PERLU KEMUKA MAKLUMAT KEPADA BNM SEBELUM LAKSANA PELARASAN SEMULA PREMIUM - LIM

06/11/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki mengemukakan semua maklumat diperlukan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk semakan sebelum melaksanakan pelarasan semula premium, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata BNM tidak membenarkan ITO untuk melaksanakan sebarang pelarasan semula premium jika cadangan tersebut tidak mematuhi langkah interim sepenuhnya.

Ia merupakan antara langkah kawalan sepanjang tempoh interim bagi membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan premium produk Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang didorong oleh inflasi kos perubatan.

“Untuk makluman, sasaran awal yang ditetapkan terhadap langkah interim adalah 80 peratus daripada  pemegang polisi tidak akan mengalami pelarasan premium melebihi 10 peratus yang disebabkan oleh kos inflasi perubatan. 

“Berdasarkan data terkini, lebih 90 peratus pemegang polisi mengalami pelarasan premium kurang daripada 10 peratus pada tahun pertama. Ini adalah pencapaian yang lebih baik daripada sasaran awal yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kes syarikat insurans yang didapati melanggar langkah interim, jenis pelanggaran dan bentuk tindakan BNM ke atas syarikat tersebut.

Lim berkata bagi sebilangan kecil pemegang polisi yang mengalami pelarasan premium lebih tinggi melibatkan produk yang telah lama tidak disemak semula harganya, pihak ITO telah menyediakan pilihan pelan alternatif lebih mampu milik untuk dipertimbangkan oleh pemegang polisi.

“Tambahan pula, terdapat juga pemegang polisi MHIT yang mengalami kenaikan premium disebabkan oleh peralihan umur. Pelarasan premium akibat peralihan umur telah pun dimaklumkan kepada pemegang polisi semasa pembelian dibuat,” katanya. 

Katanya sebarang isu berkaitan pelarasan ini akan ditangani secara berasingan oleh pihak ITO serta pemegang polisi yang mempunyai pertikaian mengenai pelarasan premium mereka disarankan untuk merujuk kepada ITO yang berkaitan terlebih dahulu.

“Sekiranya pemegang polisi masih tidak berpuas hati, mereka boleh menghubungi BNM Link dan sebarang pertikaian akan diselesaikan mengikut kes,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data terkini, sebanyak 190 aduan mengenai MHIT daripada orang awam telah diterima oleh BNM Link dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 peratus atau 179 aduan telah diselesaikan oleh pihak ITO.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah interim dalam tempoh tiga tahun ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak ITO yang tidak memenuhi kehendak langkah interim tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan