PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa kemajuan dan inovasi sebenar mesti sentiasa dipandu oleh adab iaitu disiplin yang meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya serta memelihara teras moral sesebuah tamadun.
Menerusi titah diraja pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa walaupun inovasi terus mengubah cara manusia belajar dan berinteraksi, kebjiaksanaan perlu berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.
"Walau apa jua kemajuan yang kita capai, ia mestilah dipandu oleh adab. Adab lebih daripada sekadar etika. Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mengingatkan kita bahawa adab adalah sesuatu yang menghidupkan keadilan," titah Seri Paduka Baginda hari ini.
Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa adab menuntut agar ilmu dan autoriti diberikan kedudukan yang sewajarnya, menghormati kepakaran sebagai satu amanah serta memastikan bahawa keterdesakan tidak mengaburi perkara yang benar-benar penting.
Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial yang kian meluas di mana suara yang lantang boleh menenggelamkan suara yang bijaksana, dan menasihatkan agar setiap perbezaan pendapat diungkap dengan penuh rasa hormat serta pertimbangan.
"Kita berhak untuk bersetuju untuk tidak bersetuju namun semua ini harus dilakukan dengan penuh pertimbangan dan beradab," titah Seri Paduka Baginda sambil memetik Hadis: Semoga Allah merahmati seorang hamba yang berkata baik lalu memperoleh kebaikan, atau diam lalu terhindar daripada keburukan."
Raja Zarith Sofiah juga mengingatkan bahawa adab mesti melangkaui sempadan rumah dan sekolah serta diterapkan di dewan dan koridor kuasa.
Memetik pandangan ulama seperti Sheikh Afeefuddin Al-Jailani yang mengajar bahawa "Adab sebelum ilmu" dan Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud yang mengingatkan bahawa "Dunia dan tindakan kita mencerminkan fikiran dan jiwa kita", Seri Paduka Baginda bertitah setiap hantaran atau kenyataan dalam talian membawa nilai moral serta kesan yang berkekalan.
"Jika ia baik dan membawa kesan yang terpuji, dalam pemikiran dan tindakan individu serta masyarakat, di peringkat nasional mahupun antarabangsa, kita akan memperoleh ganjaran yang besar... bukan sahaja dalam kehidupan ini tetapi juga di akhirat.
"Sebaliknya, setiap perkataan dan tindakan yang dicatat tanpa pertimbangan sewajarnya, yang berasaskan separuh kebenaran atau pembohongan sepenuhnya… mampu memberi kesan besar melebihi apa yang mampu kita bayangkan," titah Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa kehilangan adab melahirkan ketidakadilan, yang merupakan dosa besar dalam Islam, kerana Allah SWT memerintahkan umat Islam menegakkan keadilan walaupun terhadap perkara atau individu yang dibenci.
Menyentuh mengenai inovasi dan penyelidikan, Raja Permaisuri Agong bertitah bahawa adab menuntut ketelusan, akauntabiliti serta keprihatinan terhadap suara golongan yang paling kurang didengari.
Seri Paduka Baginda turut mengulangi aspirasi Malaysia untuk menyeimbangkan kecemerlangan dengan rasa tanggungjawab sambil menegaskan bahawa universiti bukan sekadar gedung ilmu tetapi juga ruang muhasabah nilai dan akhlak.
"Apabila para pelajar menamatkan pengajian, ijazah mereka bukan sahaja menandakan apa yang mereka ketahui tetapi juga mencerminkan siapa mereka dalam masyarakat," titah Seri Paduka Baginda.
Menutup titah baginda, Raja Zarith Sofiah menyeru semua rakyat Malaysia agar menimba ilmu dengan rendah hati dan berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan.
"Adab kekal sebagai panduan yang membimbing tutur kata dan tindakan kita. Ia tidak menutup minda sebaliknya membuka hati. Ia tidak menghapuskan cita-cita tetapi menyucikan niat. Ia mengingatkan kita bahawa ilmu bukan sekadar kuasa tetapi satu amanah - amanah yang harus digunakan untuk kebaikan bersama," titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan harapan agar FOI Putrajaya akan terus menjadi wadah penyebaran hikmah dan meneruskan warisan ilmu dengan penuh amanah serta menjadi cahaya kepada mereka yang menimba ilmu, panduan bagi para pemimpin, dan inspirasi untuk semua yang mencurahkan khidmat bakti.
-- BERNAMA
