JENAYAH & MAHKAMAH

MTL: JBPM TINGKAT PEMANTAUAN ENAM 'HOTSPOT' TANAH RUNTUH DI PULAU PINANG

06/11/2025 02:35 PM

BATU KAWAN, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengenal pasti enam lokasi "hotspot" tanah runtuh di negeri ini dan meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko berkenaan, khususnya sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarahnya Mohamad Shoki Hamzah berkata enam lokasi berkenaan melibatkan kawasan di Seberang Perai Tengah, Barat Daya dan Timur Laut.

“Apabila hujan lebat, berdasarkan pengalaman kita, bukan banjir sahaja berlaku tetapi juga kecemasan lain seperti pokok tumbang dan tanah runtuh. Jika melihat kepada musim hujan sebelum ini, berlakunya tanah runtuh di kawasan Balik Pulau dan Paya Terubong dalam daerah Barat Daya.

“Kita ada sejarah pada tahun 2018, di kawasan Paya Terubong berlaku tanah runtuh yang mengorbankan ramai mangsa. Oleh itu, kita beri perhatian serius kerana kita bimbang kejadian serupa berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Musim MTL peringkat JBPM Pulau Pinang yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye, di Ibu Pejabat JBPM negeri di sini hari ini.

Mohamad Shoki berkata JBPM Pulau Pinang berada dalam kesiapsiagaan penuh menghadapi MTL dengan kekuatan 1,699 pegawai dan anggota termasuk pegawai bomba bantuan serta bomba sukarela.

Menurutnya kesiapsiagaan itu turut disokong Pasukan Penyelam Di Air (PPDA), Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), selain 36 unit Water Tender dan 33 bot aluminium yang kini berada dalam mod siaga penuh.

“Pada masa ini, kita berdepan realiti baharu iaitu keadaan cuaca yang semakin ekstrem, taburan hujan yang sukar dijangka dan risiko bencana yang meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Beliau berkata, sejak awal Oktober hingga kini, JBPM Pulau Pinang merekodkan 11 panggilan kes banjir, lima kes tanah runtuh dan 41 kes pokok tumbang, dengan jumlah berkenaan dijangka meningkat sehingga 18 peratus berbanding MTL tahun lepas.

Sementara itu, H’ng berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan 14 projek mitigasi banjir utama di seluruh negeri membabitkan kos keseluruhan RM1 bilion, yang dilaksanakan secara berperingkat dengan pembiayaan bersama kerajaan negeri dan persekutuan.

Antara projek berkenaan ialah Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang, Projek Mitigasi Sungai Kechil serta Projek Tebatan Banjir Bayan Lepas dan Air Itam, yang dijangka dapat mengurangkan risiko banjir berulang terutama di kawasan hotspot setiap kali MTL melanda.

Mengenai majlis hari ini, beliau berkata sebanyak 10 bot diserahkan kepada 10 pasukan Bomba Komuniti, yang telah menjalani latihan intensif meliputi kawalan bot, teknik penyelamatan air dan pengurusan kecemasan, dengan keseluruhan bernilai RM120,000.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan