Daripada Amanina Mohamad Yusof
SHANGHAI, 6 Nov ( Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai (MIHAS@Shanghai) yang dianjurkan bersempena China International Import Expo (CIIE) menjadi pintu gerbang pintar bagi perniagaan Malaysia berhubung dengan rakan penting di seluruh Asia Utara dan lebih jauh lagi.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penganjuran MIHAS@Shanghai bersama CIIE 2025 hasil daripada komitmen kukuh terhadap hubungan perdagangan yang mendalam di antara Malaysia dengan China.
Katanya, ia merupakan satu ikatan yang dibina atas rasa saling menghormati serta kekayaan yang dinikmati bersama selama 50 tahun yang lepas.
"Ia memberikan peluang kepada syarikat tempatan kita untuk mengakses pintu gerbang yang memberi impak tinggi dan secara langsung bagi membina hubungan yang berpanjangan serta meningkatkan keterlihatan global mereka.
"Kami memilih Shanghai kerana ia merupakan pusat kewangan global, hab bagi idea-idea baharu dan nadi komersial bagi ekonomi yang berkembang paling pesat di dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian MIHAS@Shanghai yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Reezal Merican berkata, acara ini menandakan satu lagi langkah penting bagi ekonomi halal global selepas kejayaan MIHAS antarabangsa yang pertama di Dubai tahun lepas.
"Kami kembali buat kali keenam untuk mengambil bahagian dalam acara CIIE ini dengan pameran utama kami, MIHAS.
"Selama lebih 20 tahun, MIHAS menjadi asas kepada matlamat Malaysia untuk menjadi pusat halal global selain membina platform bertaraf dunia yang dikenali dengan piawaian tinggi dan integritinya," katanya.
Sebanyak 250 syarikat Malaysia menyertai pameran ini di National Exhibition and Convention Centre (NECC) di sini dari 5 hingga 10 Nov, 2025.
Menduduki pavilion asing terbesar di expo berkenaan, Pavilion Malaysia seluas 2,000 meter persegi dengan menampilkan produk serta perkhidmatan merangkumi makanan dan minuman, pertanian, barangan pengguna yang laris, peralatan perubatan, penjagaan kesihatan selain perkhidmatan kewangan.
Para peserta yang mengambil bahagian termasuk agensi-agensi persekutuan seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta agensinya Majlis Amanah Rakyat, SME Corp, Exim Bank, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia dan Lembaga Lada Malaysia.
Turut sama mengambil bahagian iaitu kerajaan negeri dari Selangor, Perak, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, dan Perlis.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, perdagangan Malaysia-China meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada RM385.71 bilion (US$89.29 bilion) atau 17.3 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan perdagangan dua hala mencecah RM484.25 bilion (US$106.06 bilion) atau 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia.
Eksport halal Malaysia berjumlah RM61.79 bilion pada 2024, menokok sebanyak 15 peratus berbanding 2023 dengan China mencatatkan RM6.25 bilion.
China merupakan pasaran eksport halal kedua terbesar Malaysia selepas Singapura.
-- BERNAMA
