AM

FILEM "PAVANE FOR AN INFANT" WAKIL MALAYSIA KE OSCARS 2026

06/11/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Filem cereka tempatan Pavane for an Infant dipilih secara rasmi mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (OSCARS) ke-98 bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik yang dijadual berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, tahun depan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan filem arahan Chong Keat Aun terbitan Janji Pictures Sdn Bhd itu telah dilaksanakan Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) FINAS yang dianggotai barisan profesional dan berpengalaman dalam industri perfileman.

Menurut FINAS, penilaian itu dibuat berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Akademi Seni dan Sains Perfileman (AMPAS).

“Pemilihan Pavane for an Infant sebagai wakil Malaysia mencerminkan potensi besar filem tempatan yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“FINAS akan terus komited memperkasakan bakat dan karya tempatan agar terus cemerlang di pentas dunia,” menurut kenyataan itu.

Filem Pavane for an Infant telah meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa, termasuk Anugerah Juri Muda di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-39 (2025) dan Anugerah Golden Silk Road ( Lakon Layar Terbaik) di Festival Filem Antarabangsa Silk Road ke-12.

Selain itu, karya berkenaan turut ditayangkan dan bertanding dalam beberapa festival berprestij dunia antaranya Festival Filem Hong Kong ke-49 (2025), Festival Filem Antarabangsa Istanbul ke-44 (2025), Festival Filem Asia New York ke-24 (2025), Festival Filem Golden Horse Taipei (2025) dan Festival Filem Antarbangsa Tokyo ke-37 (2024) - World Premiere, Asian Future Competition.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan