KANGAR, 6 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan program Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) menggalakkan pelajar sekolah menguasai kemahiran teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan pengaturcaraan yang dapat memperkasakan bakat mereka dalam bidang teknologi, inovasi, serta seni digital.
Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata DUTA menjadi platform penting dalam usaha meningkatkan minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menggabungkan unsur kesenian dan sastera bagi melahirkan pelajar yang seimbang serta kreatif.
“Gabungan STEM dengan elemen kesenian bertujuan supaya mereka dapat menghasilkan karya digital yang kreatif dan relevan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian beberapa anugerah bersempena dengan penganjuran DUTA peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.
Anugerah berkenaan, antaranya Anugerah Digital Story Telling Animation, Ikon Guru Digital dan Sekolah Digital, disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas.
Bersempena dengan penganjuran DUTA oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis itu, turut dianjurkan Prints and Pixels Expo (PriPEx) 2025 dari 3 Nov hingga hari ini yang menghimpunkan pelbagai pameran teknologi pendidikan, hasil reka bentuk digital, produksi multimedia serta demonstrasi aplikasi inovatif sekolah-sekolah di Perlis.
Rose Aza berkata melalui pendekatan seumpama itu, pelajar dapat menonjolkan potensi diri masing-masing dalam bidang teknologi kreatif yang berupaya melahirkan generasi celik digital dan bersedia menghadapi cabaran dunia masa depan selain dapat membantu guru memperluas kaedah pembelajaran lebih menarik serta bersesuaian dengan perkembangan teknologi semasa.
Beliau berkata komitmen Perlis dalam pelaksanaan program DUTA membuahkan hasil apabila Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) negeri dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2023 dan 2024 sekali gus melakar pencapaian membanggakan apabila membuktikan negeri itu mampu bersaing pada peringkat nasional.
Sementara itu, Rose Aza memaklumkan bangunan baharu JPN Perlis akan diserahkan secara rasmi oleh pihak kontraktor pada 12 Nov nanti, manakala majlis perasmian bangunan itu dijangka diadakan pada Jun tahun depan bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Selepas penyerahan, kita akan laksanakan proses perpindahan secara berperingkat dan dijangka beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu selepas Ramadan tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA
