AM

PERSIDANGAN MATA KPJ 2025: BINCANG KEMAJUAN DALAM PEMBEDAHAN KATARAK, REFRAKTIF

06/11/2025 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov  (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd telah menganjurkan Persidangan Mata KPJ 2025 ke-2 pada 1 dan 2 Nov lepas yang menghimpunkan lebih 300 oftalmologi dan pakar mata dari sektor swasta, awam dan ahli akademik bagi bertukar pengetahuan dalam pembedahan katarak dan refraktif. 

Persidangan yang dirasmikan Ketua Pengarah Perubatan KPJ Health Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim itu, diadakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Persatuan Katarak dan Pembedahan Refraktif Malaysia (MSCRS) manakala KPJ Healthcare University (KPJU) sebagai rakan akademik. 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata program itu merupakan platform penting untuk pakar bertukar pandangan amalan terbaik yang disokong oleh data klinikal serta kajian kes sebenar.

“Penglihatan yang baik membantu kehidupan yang lebih bebas dan berkualiti. Dengan semakin banyak pilihan rawatan tersedia, pakar perlu membina pengalaman praktikal bagi membantu pesakit membuat keputusan yang tepat.

“Menerusi kerjasama berterusan dengan rakan daripada seluruh ekosistem penjagaan mata, kita akan terus memperkukuh keupayaan yang memberi manfaat kepada pesakit seiring dengan matlamat Care for Live,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bertemakan “Pembedahan Katarak dan Refraktif: Mempertajamkan Wawasan Kita untuk Masa Depan", persidangan tersebut menampilkan 14 sesi sainstifik dengan 33 penceramah termasuk Pengarah Perubatan KPJ Centre for Sight Prof Madya (C) Dr Norazlina Bachik, yang juga merupakan Ketua Bidang Subkepakaran Oftalmologi KPJ HealthCare.

Turut berkongsi kepakaran Presiden MSCRS Prof Datuk Dr Khairidzan Mohd Kamal dan Pakar Pembedahan Katarak dan LASIK KPJ Centre for Sight Dr Helen Tan.

“Perbincangan antaranya mengenai kanta intraokular premium (IOL), teknik pembedahan terkini, perancangan pembedahan dipacu kecerdasan buatan (AI), strategi pembetulan presbiopia serta hasil rawatan sebenar,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan persidangan tersebut juga sebahagian daripada Sistem Kesihatan KPJ, iaitu satu pendekatan berstruktur yang mengintegrasikan perkhidmatan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi memperkukuh keupayaan subkepakaran serta meningkatkan mutu penjagaan pesakit di seluruh rangkaian hospital KPJ.

“Melalui kerjasama akademik dan peluang peningkatan kemahiran yang diterajui bersama KPJU, program ini menyokong pembelajaran berterusan dan kemajuan klinikal secara bersama,” menurut KPJ Healthcare.

Persidangan Mata KPJ ke-3 dijangka berlangsung pada 21 dan 22 Nov tahun depan. Untuk maklumat lanjut layari https://kpjhealth.com.my.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan