AM

LEBUH RAYA PAN BORNEO SANDAKAN-LAHAD DATU PEMANGKIN SOSIOEKONOMI PENDUDUK SETEMPAT

07/11/2025 06:34 PM

SANDAKAN, 7 Nov (Bernama) -- Laluan Lebuh Raya Pan Borneo dari Jalan Segaliud ke Batu 32, Sandakan, sepanjang 18.125 kilometer (km) yang siap pada Ogos 2023 bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan jaringan jalan raya di kawasan pantai timur Sabah malah membantu membangunkan sosioekonomi penduduk setempat.

Peniaga Agro Bazar di Batu 32, Nur Farhanah Ali, 30-an, berkata sejak lebuh raya itu siap dibina keadaan lalu lintas di kawasan itu semakin lancar dan teratur selain tiada lagi kesesakan seperti sebelum ini.

Beliau berkata pembinaan persimpangan bertingkat yang menghubungkan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau itu juga membantu merancakkan aktiviti ekonomi, khususnya dalam kalangan peniaga kecil di kawasan tersebut.

"Ramai pengguna jalan raya singgah ke gerai Agro Bazar di sini berbanding sebelum pembinaan lebuh raya ini. Pembinaannya telah membawa rezeki lebih baik buat kami peniaga kecil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sapinah Abdullah, 50, pula berkata perancangan lebuh raya itu telah dibuat dengan baik apabila turut membina laluan masuk ke Agro Bazar, membolehkan lebih ramai pengguna jalan raya singgah untuk berehat sambil membeli produk penduduk setempat.

"Banyak impak positif buat kami peniaga di sini, penghantaran bekalan barang niaga juga lebih lancar tidak seperti sebelum wujudnya Pan Borneo ini apabila penghantaran bekalan sering lewat dan tergendala akibat jalan rosak," katanya.

Sementara itu, Wakil Penguasa (Jurutera) Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Mohd Annafi Abu Bakar berkata projek Jalan Segaliud-Batu 32 itu dibina dengan kos RM268.55 juta.

Beliau berkata ia meliputi naik taraf jalan kepada dua lorong bagi kedua-dua hala, membina jambatan Sungai Segaliud, jejantas pejalan kaki Sekolah Menengah Kebangsaan Segaliud serta sembilan pusingan U dan 132 lampu jalan.

Mohd Annafi berkata dengan pembinaan persimpangan bertingkat baharu itu, aliran trafik kini lebih lancar tanpa gangguan keluar masuk kenderaan dan mengurangkan masa perjalanan 15 hingga 20 minit.

"Simpang Batu 32 sering menjadi lokasi kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak dengan pergerakan lori minyak dan sawit, namun selepas projek ini siap masalah berkenaan kini dapat diatasi," katanya.

Sementara itu di Lahad Datu, peniaga ayam Rosli Salleh, 64, yang berniaga di laluan Pan Borneo Jalan Pintas Lahad Datu, berkata pembinaan jalan raya itu telah menjimatkan masa perjalanannya untuk ke pekan Lahad Datuk bagi membeli atau menghantar bekalan.

"Saya sangat bersyukur kerana laluan ini memang menjimatkan masa tidak seperti sebelum ini, kalau hendak keluar menghantar ayam kepada pelanggan kadangkala memakan masa sehingga satu jam disebabkan kesesakan lalu lintas, sekarang cuma 30 minit sahaja," katanya.

Jurutera JKR Hadi Hamzah berkata projek Jalan Pintas Lahad Datu sepanjang 6.775 km itu merupakan  laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan di pusat bandar sekali gus menjimatkan masa perjalanan pengguna.

Beliau berkata laluan itu yang siap dibina pada Julai tahun lepas membabitkan kos RM91 juta dan telah memudahkan pergerakan hasil pertanian, perindustrian serta barangan eksport di pantai timur Sabah ke Pelabuhan Lahad Datu dan Pelabuhan Sandakan.

--BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan