DUNIA

WISMA PUTRA: TIADA RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS TAUFAN KALMAEGI DI FILIPINA, PANTAU RIBUT FUNG-WONG

07/11/2025 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat Taufan Kalmaegi yang melanda Filipina dan menyebabkan banjir besar serta kemalangan jiwa awal minggu ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila turut memantau rapat perkembangan Ribut Tropika Fung-Wong (dikenali secara tempatan sebagai Uwan) yang dijangka memasuki Kawasan Tanggungjawab Filipina pada Jumaat.

“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas dengan bencana yang berlaku.

“Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mematuhi panduan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut Wisma Putra pada Jumaat.

Ribut Tropika Fung-Wong ketika ini mencatat kelajuan angin maksimum 75 kilometer sejam (km/j) berhampiran pusatnya dengan tiupan angin kencang sehingga 90 km/j, sambil bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 10 km/j.

Biro kaji cuaca negara itu mengekalkan ramalan bahawa ribut tropika berkenaan mungkin meningkat kepada kategori taufan menjelang Sabtu (8 Nov) dan mula menghampiri negara itu, dengan keadaan cuaca buruk dijangka melanda sepenuhnya pada Ahad (9 Nov).

Pada 4 Nov lepas, Taufan Kalmaegi (dikenali secara tempatan sebagai Taufan Tino) melanda wilayah Visayas di Filipina, menyebabkan banjir besar, kematian, kecederaan dan pemindahan ratusan keluarga.

Pada Khamis, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan darurat susulan kemusnahan besar yang disebabkan oleh Taufan Kalmaegi, yang meragut 114 nyawa dan menyebabkan 127 individu hilang, menurut angka terkini.

Langkah itu membolehkan agensi kerajaan untuk mendapatkan dana kecemasan dengan lebih cepat serta mempercepat perolehan barang-barang keperluan sebagai persediaan bagi menghadapi ribut tropika Fung-Wong.

Kementerian Luar Malaysia pada masa sama menzahirkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada mangsa serta keluarga yang terjejas akibat bencana tersebut.

Sementara itu, Kementerian Luar turut menggesa rakyat Malaysia yang belum mendaftar atau mengemas kini keberadaan mereka supaya berbuat demikian dengan segera melalui https://ekonsular.kln.gov.my.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila di alamat Salcedo Village, 107 Tordesillas, Makati, 1227 Metro Manila, Filipina, atau di talian +63 28662 8200 0917 864 0761, atau e-mel: mwmanila@kln.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan