SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencadangkan agar Program Sukan Rakyat diperluas ke peringkat daerah di Selangor bagi menghidupkan semula warisan sukan tradisional dalam kalangan masyarakat.
Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata ini selepas Program Sukan Rakyat sempena Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat di padang Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini mendapat sambutan menggalakkan, terutama dengan keberangkatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan pasangan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
“Sambutan hari ini sangat menggalakkan dan menerima reaksi positif daripada semua pihak termasuk Raja Muda Selangor. Baginda turut menyatakan pandangan agar sukan rakyat ini dihidupkan di peringkat daerah.
"Kami juga telah berbincang dengan pihak istana mengenai penganjuran kejohanan sukan rakyat secara lebih tersusun termasuk cadangan mengadakan liga bagi beberapa acara tradisional seperti bola sepak berkain pelekat," katanya kepada pemberita selepas program itu.
Mohd Fauzi berkata pemenang pertandingan yang diadakan di peringkat daerah berkemungkinan berpeluang bertanding pada perlawanan akhir di padang istana sebagai satu bentuk penghormatan dan simbolik pengiktirafan terhadap warisan sukan rakyat.
Beliau berkata jika dilaksanakan, penganjuran itu dirancang menggunakan konsep kejohanan bola sepak luar negara yang menetapkan perlawanan akhir dilangsungkan di padang utama iaitu di istana.
"Sekiranya dipersetujui, ia merupakan satu penghormatan kepada pemenang dan sukan tradisional itu sendiri. Cadangan berkenaan akan dibincangkan bersama Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Rizam Ismail serta pihak berkaitan bagi pelaksanaan lanjut," katanya.
Berhubung kehadiran peserta pada program hari ini, Mohd Fauzi berkata acara itu berjaya menarik minat lebih 1,500 orang meliputi kakitangan jabatan, komuniti setempat dan wakil-wakil daerah di Selangor.
Program Sukan Rakyat sempena Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat merangkumi beberapa acara permainan tradisional seperti congkak, galah panjang, batu seremban dan sepak raga.
-- BERNAMA
